Selasa, 7 April 2020 | 12:56pm
Pengusaha Hidayah Cookies, Sarimah Jantan bersama roti yang baru dibungkus untuk dijual. NSTP/Osman Adnan
Pengusaha Hidayah Cookies, Sarimah Jantan bersama roti yang baru dibungkus untuk dijual. NSTP/Osman Adnan

Pakej PKS dapat suntikan langsung kerajaan

KUALA LUMPUR: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) PKS (Tambahan) yang mendapat suntikan fiskal langsung daripada kerajaan akan meningkatkan defisit fiskal negara kepada 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Hong Leong Investment Bank Bhd Research (HLIB Research) dalam notanya berkata, bantuan tambahan bernilai RM10 bilion itu adalah bersamaan dengan 0.7 peratus daripada KDNK negara, sekali gus berpotensi untuk meningkatkan kadar defisit fiskal kepada 4.7 peratus.

Katanya, ia adalah berdasarkan defisit fiskal yang diumumkan oleh kerajaan sebanyak 4.0 peratus daripada KDNK sebelum ini.

“Jumlah pakej ekonomi sebanyak RM10 bilion terdiri daripada peningkatan subsidi upah sebanyak RM7.9 bilion dan Geran Khas PRIHATIN berjumlah RM2.1 bilion.

“Ini menjadikan suntikan fiskal langsung kerajaan untuk merangsang ekonomi sebanyak RM35 bilion,” katanya.

Tambahnya, walaupun subsidi upah sebanyak RM13.8 bilion dijangka memberi sokongan kepada penggunaan swasta (1.5 peratus daripada penggunaan swasta), ia hanya menyediakan bantuan jangka pendek kerana pembayaran itu hanya untuk tempoh tiga bulan.

Selain itu katanya, ia juga datang dengan syarat bahawa syarikat dijangka mengekalkan pekerja mereka sekurang-kurangnya tiga bulan selepas tempoh subsidi upah berakhir.

"Buat masa ini, kami mengekalkan unjuran KDNK 2020 pada -2 peratus dan jangkaan yang kadar dasar semalaman (OPR) akan dipotong sebanyak 50 mata asas pada bulan Mei ini ketika mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari," katanya.

Berita Harian X