Selasa, 7 April 2020 | 1:41pm
Pelaburan Hartanah Bhd (PHB)
Pelaburan Hartanah Bhd (PHB)

Agihan pendapatan interim AHB 2.60 sen seunit

KUALA LUMPUR: Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) mengumumkan agihan pendapatan interim bagi dana Amanah Hartanah Bhd (AHB) 2.60 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir pada 31 Mac 2020, membabitkan 500,000 unit pertama yang dipegang oleh setiap pemegang unit.

Dalam satu kenyataan, PHB yang juga penaja dana AHB dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) berkata, jumlah itu terhasil daripada pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.30 sen seunit dan pengagihan bonus berjumlah 0.30 sen seunit.

“Bagi pemegang unit institusi yang memiliki lebih daripada 500,000 unit, lebihan unit itu layak mendapat agihan pendapatan asas berjumlah 2.30 sen seunit.

“Oleh itu, pengagihan pendapatan interim untuk pemegang unit institusi akan berada antara 2.30 sen seunit sehingga 2.60 sen seunit, bergantung kepada jumlah unit yang dipegang,” katanya.

Agihan pendapatan itu dijangka memberi manfaat kepada 75,000 pemegang unit Bumiputera serta 14 institusi Bumiputera.

PHB berkata, agihan pendapatan ini dikecualikan dari cukai dan telah dizakatkan dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemegang unit pada 14 April ini.

“Bagi Ahli Skim Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam Akaun 1 KWSP mereka,” kata kenyatan itu.

Sementara itu, sebagai respons kepada pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi kesan kepada perniagaan di negara ini, Pengarah Urusan PHB, Datuk Mahmud Fauzi Muda berkata, syarikat itu sedang menyelesaikan program bantuan penyewaan untuk membantu penyewa runcit yang terjejas di pusat membeli belah dan juga di bangunan lain milik mereka.

AHB dengan harga tetap RM1.00 seunit adalah sebuah dana amanah berlandaskan hartanah yang patuh syariah.

Ia membolehkan pelabur-pelabur Bumiputera menyertai pemilikan benefisial aset-aset hartanah yang mampu memberi pulangan yang kompetitif serta dalam aliran pendapatan yang konsisten.

Dana ini boleh dilanggan di semua cawangan Maybank, AmBank dan AmBank Islamic di seluruh negara.

Berita Harian X