X
Selasa, 7 April 2020 | 3:25pm
Pegusaha jahitan pakaian Halisah Ramli (kanan) dan rakan kongsinya, Ajniyah Asdisibuk menyiapkan tempahan pelanggan. - Foto BERNAMA
Pegusaha jahitan pakaian Halisah Ramli (kanan) dan rakan kongsinya, Ajniyah Asdisibuk menyiapkan tempahan pelanggan. - Foto BERNAMA

Ahli akademik sifatkan pakej tambahan PKS sebagai menyeluruh

KUALA LUMPUR: Pakej rangsangan ekonomi tambahan oleh kerajaan bernilai RM10 bilion bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah menyeluruh dan pastinya akan dapat mengurangkan bebanan yang sedang dihadapi ramai usahawan dalam sektor yang terjejas itu, menurut ahli akademik.

Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Nazari Ismail, berkata kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan selain memperluas bantuan memandangkan sejumlah besar perniagaan PKS menghadapi kesukaran susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara akibat pandemik COVID-19.

“Jika mereka tidak dibantu, ini akan membawa kepada kadar pengangguran terlalu tinggi dan menimbulkan banyak masalah sosial dan ekonomi lain.

“Dari segi politik pula, pakej itu perlu dilaksanakan untuk kerajaan ini menjadi pilihan atau disukai rakyat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, bagaimanapun, langkah terbaharu ini akan menambah lagi beban ekonomi masa depan dan percaya kerajaan dijangka menukar sistem kutipan cukai, yang mungkin menyaksikan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Namun GST, jika dilaksanakan semula pada kadar tinggi akan menjejaskan permintaan pengguna, katanya.

“Kesimpulannya, ini hanyalah penyelesaian jangka pendek sebenarnya. Ia mempunyai impak jangka panjang yang perlu kita hadapi.

“Oleh itu, kita perlu mewujudkan penyelesaian jangka panjang dan sebahagiannya ialah dengan kita memastikan paras hutang di negara kita dikurangkan pada masa akan datang supaya negara dapat lebih mampu menyerap kejutan ekonomi seperti yang kita alami sekarang,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, peruntukan tambahan yang dilaksanakan kerajaan sepatutnya dipanggil “pakej kemanusiaan” dan bukannya pakej rangsangan.

“Pemberian dan pakej pinjaman itu untuk pemilik PKS mikro merancang perniagaan mereka yang akan datang.

“Inilah masanya untuk PKS terutama dalam sektor runcit dan pengeluar kecil memperhalusi semula, muhasabah dan merancang model perniagaan baharu untuk meneruskan kelangsungan dalam situasi ekonomi ini atau mungkin masa akan datang apabila persekitaran kembali stabil, " katanya.

Barjoyai berkata, modal dan dana hanyalah satu bahagian daripada persamaan ini, lebih penting untuk PKS menenentukan model perniagaan yang berdaya maju berdasarkan model baharu ekonomi seiring dengan tema masa kini iaitu ‘penjarakan sosial’.

“Cabaran sekarang adalah bagaimana untuk menjalankan perniagaan mengikut 'perspektif psikologi berhubung penjarakan sosial’ yang memanfaatkan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) memandangkan PKP sebenarnya bertindak sebagai pemangkin untuk memaksa kita beralih dengan pantas kepada IR4.0," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan RM10 bilion di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bagi membantu PKS yang bergelut menghadapi kesukaran, sebagai tambahah kepada RM250 bilion yang diumumkan sebelum ini.

Inisiatif tambahan itu termasuk meningkatkan peruntukan program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac sebanyak RM7.9 bilion kepada RM13.8 bilion.

-BERNAMA

Berita Harian X