Selasa, 7 April 2020 | 4:44pm
Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA)
Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA)

Lanjutkan subsidi upah lebih enam bulan - MATTA

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berharap kerajaan dapat menilai semula pelaksanaan program subsidi upah dengan melanjutkan tempohnya kepada enam bulan atau lebih.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata ini kerana industri pelancongan akan mengambil masa lebih lama untuk pulih pasca COVID-19.

Katanya, dalam cadangan yang dihantar kepada kerajaan sebelum ini, MATTA juga meminta sektor swasta dibenarkan menghentikan sumbangan kepada agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PERKESO dan pembayaran cukai pendapatan untuk tempoh enam bulan.

"Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permintaan ini untuk membantu sektor swasta bertahan dalam tempoh yang sukar ini.

“Permintaan yang serupa ini juga ada dikemukakan oleh organisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) lain,’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengenai Pakej PRIHATIN PKS (Tambahan) yang diumumkan semalam, Kok Liang, menyifatkannya langkah positif daripada kerajaan untuk membantu menampan impak COVID-19 yang mana telah memberi impak buruk kepada PKS terutama perniagaan pelancongan.

Katanya, majoriti syarikat pelancongan berada di peringkat ketiga bantuan subsidi upah dengan kurang daripada 75 pekerja dan ini akan membantu meringankan masalah aliran tunai syarikat selain membantu mengekalkan lebih ramai pekerja.

“Selain itu, MATTA juga mengalu-alukan keputusan kerajaan yang menggesa organisasi pemberi pinjam wang supaya menawarkan moratorium selama enam bulan, langkah serupa yang ditawarkan bank.

“Ini adalah kelegaan yang sangat diperlukan kerana berdasarkan maklum balas banyak syarikat ini masih meminta bayaran semula kerana mereka tidak termasuk dalam kategori yang sama seperti bank.

‘Moratorium selama enam bulan untuk syarikat pemberi pinjam wang akan membantu banyak perniagaan pelancongan, agensi pelancongan yang memiliki kenderaan pelancongan khususnya bagi mengatasi masa sukar ini ketika perniagaan dan pendapatan adalah hampir tiada langsung," katanya.

Berita Harian X