Selasa, 7 April 2020 | 4:54pm
Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.
Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Kerajaan disaran perluas bantuan kepada firma profesional

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memberi kelonggaran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaftar dengan badan profesional untuk menikmati Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) Tambahan.

Peguam Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, dalam kenyataannya hari ini, berkata ia berikutan terdapat firma profesional di bawah kluster PKS tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Selain itu, katanya, kelonggaran perlu diberi kepada firma berkaitan bagi memastikan kelangsungan operasi perkhidmatannya dapat dikekalkan.

“Contohnya, firma guaman hanya berdaftar dan tertakluk dengan Majlis Peguam Malaysia dan bukannya SSM. Bidang ini memainkan peranan penting kerana turut menyumbang pada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kerajaan juga disaran memberi kelonggaran syarat pinjaman atau bantuan kepada graduan dan usahawan baharu yang mencipta perniagaan ekonomi gig supaya mampu membuka serta mencipta ruang ekonomi, selain mencipta pasaran kerja.

“Tahap kebergantungan kepada kerajaan perlu dikurangkan perlu ada usaha, idea dan kreativiti baik bagi mengharungi cabaran ekonomi impak COVID-19 dalam memastikan kelangsungan usahawan baharu,” katanya.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PRIHATIN Tambahan bernilai RM10 bilion bagi meringankan beban PKS, selain memastikan mereka mendapat manfaat sepenuhnya daripada bantuan sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, PKS tunjang utama ekonomi Malaysia yang menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di negara, selain hampir 40 peratus kepada ekonomi.

Dalam pada itu, Irmohizam mencadangkan supaya perjanjian di antara majikan dan pekerja perlu diwujudkan bagi mengelakkan pengangguran ekoran wabak COVID-19, membabitkan garis panduan dalam terma khas kepada kakitangan.

Katanya, kesaksamaan dalam mengimbangi keperluan antara majikan dan pekerja tidak mustahil untuk dicapai walaupun ia dikatakan agak sukar.

“Unjuran moratorium mungkin boleh dipanjangkan selama enam bulan bagi caruman majikan bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO bagi mengurangkan beban, sekali gus memberi jaminan tiada pekerja diberhentikan.

“Tidak wajar jika majikan terbeban dan gagal mematuhi caruman hingga terpaksa memberhentikan pekerja. Perkara ini harus dituntut bagi menjamin terhadap semua pihak,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X