Selasa, 7 April 2020 | 4:58pm
Timbalan Presiden Dewan Perdagangan ASEAN dan Industri, Datuk Sohaimi Shahadan. - Foto NSTP
Timbalan Presiden Dewan Perdagangan ASEAN dan Industri, Datuk Sohaimi Shahadan. - Foto NSTP

'Jangan abaikan bantuan kepada individu muflis'

KUALA LUMPUR: Dewan Perdagangan ASEAN dan Industri berharap kerajaan tidak akan mengabaikan individu muflis sebagai penerima bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) oleh kerajaan.

Timbalan Presidennya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, golongan itu juga tidak terkecuali dalam berhadapan dengan situasai sukar akibat bencana yang tidak pernah dihadapi sebelum ini.

Beliau berkata, oleh itu pihaknya berharap agar tidak ada yang terpinggir termasuk mereka yang muflis, ini kerana ada kalangan yang muflis bukan disebabkan mereka sendiri, ada muflis kerana menjadi penjamin kepada orang lain, malah ada yang muflis kerana ditipu dan sebagainya.

“Tidak ada masalah jika kerajaan menyediakan satu inisiatif khusus terhadap golongan ini bagi membantu mereka dalam situasai sukar ini untuk memastikan semua pihak dapat bernafas ketika berdepan kesukaranakibat COVID-19.

“Kerajaan juga perlu meminta Bank Negara Malaysia (BNM) memberi moratorium kepada peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman mereka secara berjadual,” katanya dalam satu kenyataan.

Sohaimi berkata, peminjam dalam kategori ini biasanya berdepan dengan masalah kewangan yang memungkinkan mereka berbuat demikian secara berdisiplin mengikut jadual apatah lagi dengan situasai ekonomi semasa.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Bebas Muflis berkata, mereka juga sepatutnya boleh mendapat penangguhan bayaran balik pinjaman untuk melegakan ekonomi buat seketika dan penjadualan semula bayaran wajar dilakukan selepas tempoh moratorium berakhir.

Selain itu katanya, kerajaan juga diharap dapat menyegerakan projek kerajaaan yang dirancang bagi merancakkan ekonomi domestik termasuk peluang pekerjaan.

“Namun, dalam masa sama kerajaan perlu memecah monopoli penguasaan syarikat besar terhadap projek kerajaan supaya ia turut dapat dinikmati oleh syarikat kecil bagi memberi talian hayat untuk memastikan syarikat kecil ini terus beroperasi sekaligus mengurangkan pembuangan tenaga kerja.

“Dalam pada itu kerajaan perlu segera berfikir secara luar biasa untuk membina kerangka atau kaedah baru bukan saja bagi merancakkan ekonomi bahkan membina daya tahan ekonomi bagi menghadapi situasi luar jangka di masa hadapan.

“Dewan Perdangangan ASEAN dan Industri juga berharap agensi pelaksana kepada bantuan kerajaan ini dapat memudahkan urusan menyalurkan bantuan, kurangkan karenah birokrasi supaya ia dapat disalurkan kepada kumpulan sasar,” katanya.

Sohaimi berkata, pakej PRIHATIN adalah satu usaha radikal kerajaan dalam usaha menyelamatkan ekonomi negara dan memastikan periuk nasi rakyat sentiasa terjaga ketika berdepan situasai sukar ketika ini.

Berita Harian X