Selasa, 7 April 2020 | 5:33pm

Firma dibenar beroperasi perlu patuhi syarat

KUALA LUMPUR: Syarikat yang mendapat kebenaran untuk beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) digesa untuk mematuhi dengan ketat syarat-syarat yang ditetapkan, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Jika gagal berbuat demikian, syarikat terbabit berdepan kemungkinan kelulusan ditarik balik.

MIDA, agensi yang berada di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menetapkan 10 syarat wajib yang perlu dipatuhi syarikat-syarikat yang mendapat kebenaran itu.

Pertama, syarikat perlu mengurangkan bilangan pekerja kepada minimum atau sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kakitangan yang ada sekarang atau yang berdaftar bagi tempoh PKP.

“Kedua, syarikat dikehendaki memenuhi permintaan dan keperluan pasaran domestik bagi produk dan perkhidmatan,” kata MIDA menerusi ciapan di lawan Twitternya.

Ketiga, syarikat dikehendaki menyerahkan kepada MITI senarai kakitangan (nama dan nombor kad pengenalan) yang bertugas semasa tempoh PKP dan memastikan pergerakan mereka terhad hanya kepada perjalanan antara rumah dan kilang dan sebaliknya.

Keempat, syarikat perlu menyediakan alat pengimbas suhu badan dan mengambil suhu badan setiap pekerja setiap hari di pintu masuk kilang atau premis.

“Bacaan suhu harian hendaklah direkodkan dan difailkan bagi rujukan,” kata MIDA sambil menambah syarikat perlu menghubungi dengan segera Jabatan Kesihatan atau hospital kerajaan sekiranya suhu badan kakitangannya meningkat daripada paras biasa.

“Kakitangan perlu mematuhi dengan ketat langkah-langkah pencegahan COVID-19 seperti yang dikeluarkan dan dikemas kini oleh Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa,” kata MIDA.

Selain itu, syarikat juga perlu menyediakan pembersih tangan di semua pintu masuk kilang/premis dan kawasan berkaitan lain dalam kilang/premis serta memastikan penggunaan topeng muka oleh semua kakitangan selain menjalankan proses sanitasi dan nyah kuman di kilang/premis sebelum setiap syif atau sebelum operasi bermula setiap hari.

“Kerajaan menegaskan pengecualian itu boleh dibatalkan atau ditarik balik sekiranya syarikat didapati tidak mematuhi syarat-syarat terbabit.

“Kerajaan mempunyai hak untuk meminda syarat-syarat itu bergantung kepada situasi,” kata MIDA.

-BERNAMA

Berita Harian X