Selasa, 7 April 2020 | 9:34pm
Perniagaan dalam talian dapat membantu aliran tunai PKS
Perniagaan dalam talian dapat membantu aliran tunai PKS

'Benarkan semua PKS berniaga dalam talian'

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar membenarkan semua syarikat mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bukan dalam kategori perkhidmatan perlu atau ‘essential services’ menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang, berkata buat masa ini hanya perniagaan dalam kategori perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi secara dalam talian dan ia wajar diperluaskan kepada semua perkhidmatan.

“Kerajaan harus membuka peluang kepada semua PKS untuk berniaga dalam talian supaya mereka dapat menjana sedikit pendapatan untuk membayar gaji pekerja, bayaran statutori dan sewa.

“Kami sudah mencadangkan kepada kerajaan mengenai perkara ini sebelum pengumuman (Pakej (PRIHATIN) PKS Tambahan) dan berharap ia dapat dipertimbangkan kerajaan nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penting untuk kerajaan menyelamatkan PKS kerana berdasarkan tinjauan persatuan itu dalam tempoh 24 jam, 33 peratus PKS mempunyai aliran tunai yang hanya bertahan sehingga Mac, manakala 37.8 peratus sehingga April.

“Banyak PKS yang bergelut kerana tidak mempunyai tunai mencukupi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan jika mereka tidak mampu bertahan dengan krisis ini, banyak pekerja terpaksa dibuang.

“Jumlah yang terbabit pula amat tinggi iaitu antara tiga hingga empat juta pekerja, jika kerajaan tidak masuk campur membantu dari segi aliran tunai dan pakej rangsangan khusus PKS,” katanya.

Ketika ditanya pendapatnya mengenai pakej PRIHATIN PKS Tambahan, Kang berkata, mana-mana pakej yang diumumkan kerajaan tentu tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak, namun kerajaan tetap mendengar suara PKS.

“Kami amat menghargai tindakan kerajaan mengumumkan pakej rangsangan untuk PKS dan saya berfikir ia amat membantu dan akan memanfaatkan PKS.

“Namun, pakej ini dilihat tidak cukup kerana kerajaan hanya memberi tumpuan untuk tempoh tiga bulan, sedangkan banyak PKS masih bergelut kerana tidak mempunyai sebarang pendapatan, terutama sepanjang PKP.

“PKS tidak dibenar berniaga disebabkan PKP, hanya perkhidmatan perlu boleh beroperasi dan ini benar-benar menjejaskan mereka,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X