Rabu, 8 April 2020 | 6:21pm
1KETUA Pegawai Eksekutif Co-opbank Pertama (CBP), Mohd Nor Abd Razak. - Foto Zunnur Al Shafiq
1KETUA Pegawai Eksekutif Co-opbank Pertama (CBP), Mohd Nor Abd Razak. - Foto Zunnur Al Shafiq

COVID-19: Co-opbank perkenal tiga pakej pinjaman khas RM100 juta

KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) mengumumkan program khas dikenali sebagai Program CB-Prihatin membabitkan peruntukan melebihi RM100 juta.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd Nor Abd Razak, berkata menerusi Program CB-Prihatin, sebanyak tiga pakej ditawarkan iaitu Pakej Pembiayaan CB-Prihatin PKS & Koperasi; Pakej CB-Prihatin (COVID-19) dan Pakej Majikan CB-Prihatin.

“Menerusi Pakej Pembiayaan CB-Prihatin PKS & Koperasi, kami memperuntukkan dana berjumlah RM100 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan koperasi.

“Melalui Pakej CB-Prihatin (Covid-19) pula, CBP memperuntukkan dana sebanyak RM500,000 dengan sasaran untuk memberi bantuan kewangan dan keperluan peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada barisan hadapan serta mangsa COVID-19.

“Bermula April sehingga September 2020, RM400 akan diberikan kepada kakitangan CBP yang layak secara bulanan bagi meringankan beban kewangan keluarga akibat penularan COVID-19 melalui Pakej Majikan CB-Prihatin,” katanya.

Di bawah Pakej Pembiayaan CB-Prihatin PKS & Koperasi, CBP menawarkan tempoh bertenang (grace period), penangguhan bayaran prinsipal selama sembilan bulan.

“Hanya bayaran keuntungan pembiayaan diambilkira. Selain itu, kami juga menawarkan kadar keuntungan yang rendah dan yuran guaman sebanyak 50 peratus akan ditanggung oleh CBP,” kata Mohd Nor.

Beliau berkata, CBP juga akan memberi moratorium kepada semua pelanggan korporat PKS dan koperasi yang layak bermula 1 April 2020 sehingga 30 September 2020.

“Bagi koperasi kredit, moratorium akan diberikan sekiranya koperasi berkenaan turut memberikan moratorium kepada pelanggan mereka.

“Selain itu, bagi pelanggan baharu pembiayaan peribadi iaitu pembiayaan yang dikeluarkan selepas 1 April 2020, pelanggan boleh memohon untuk penangguhan bayaran ansuran selama tiga bulan dan tertakluk kepada kelulusan CBP.

“Pakej ini terbuka sehingga 30 September 2020 dengan kadar keuntungan serendah 3.45 peratus setahun,” katanya.

Mohd Nor berkata, mesyuarat Anggota Lembaga juga turut meluluskan pembayaran interim bagi dividen bagi tahun 2019 sebanyak tiga peratus dengan dividen akan dibayar selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) CBP pada September nanti,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X