Isnin, 21 Ogos 2017 | 9:23pm

Ringgit mengukuh

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan peningkatan permintaan di tengah-tengah kemelut geopolitik serantau serta ketidaktentuan politik AS yang memberi tekanan ke atas harga saham global.

Pada 6 petang, ringgit disebut pada harga 4.2855/2885 berbanding dolar AS daripada 4.2880/2910 Jumaat lalu.

Peniaga Kanan OANDA Asia-Pasifik, Stephen Innes, berkata dagangan ringgit di pasaran tukaran asing juga aktif.

Katanya, data pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) juga sememangnya positif.

Pertumbuhan KDNK sebanyak 5.8 peratus suku kedua 2017 juga hanya mengesahkan asas landskap makroekonomi domestik, yang akan terus memberi sokongan.

"Malaysia juga terus kekal disokong eksport bahan mentah ke China. Malah, jika dilihat dari sudut proksi komoditi itu saja, ia turut memaparkan unjuran positif untuk ringgit berdasarkan naratif pertumbuhan ASEAN yang memberangsangkan," katanya kepada Bernama.

Jumaat lalu, BNM mengumumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2017 berbanding 4.0 peratus suku sama tahun lalu.

Sementara itu, prestasi ringgit bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama.

Ringgit susut berbanding yen kepada 3.9309/9348 daripada 3.9285/9324 pada minggu lepas dan berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.1439/1466 daripada 3.1423/1457 Jumaat.

Unit tempatan itu bagaimanapun naik berbanding euro kepada 5.0307/0347 daripada 5.0311/0363 pada Jumaat dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5172/5232 daripada 5.5247/5302, sebelum ini. - BERNAMA

Berita Harian X