Jumaat, 5 Januari 2018 | 6:00pm

Ringgit kekal kukuh bawah RM4.00

KUALA LUMPUR: Ringgit muncul mata wang Asia yang mencatatkan prestasi terbaik dengan kenaikan tertinggi, apabila meningkat 0.25 peratus kepada RM3.9980 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada jam 5 petang tadi.

Ia sekali gus membolehkan mata wang tempatan itu kekal di bawah paras psikologi RM4.00 buat kali pertama sejak Ogos 2016.

Ringgit dibuka pada RM4.0015 pada jam 9 pagi, sebelum melepasi paras psikologi kepada RM3.9970 pada jam 10.32 pagi dan terus mengukuh kepada RM3.9940 pada jam 3 petang.

Prestasi memberangsangkan itu didorong sentimen positif pasaran secara umum, kelemahan dolar, jangkaan aliran masuk dana asing ke dalam pasaran saham tempatan pada awal tahun ini selain turut meraih sokongan daripada pengukuhan harga minyak global.

Kali terakhir ringgit diniagakan di bawah paras RM4.00 ialah pada 18 Ogos 2016, iaitu RM3.9965 sebelum ia susut sehingga serendah RM4.4975 pada 1 April tahun lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC), Nor Zahidi Alias, berkata arah aliran kemasukan modal akan memegang kunci bagi prestasi ringgit tahun ini.

Beliau berkata, pasaran bon tempatan merekodkan aliran masuk RM9.3 bilion antara Julai dan November lalu, manakala bahagian pegangan asing sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) meningkat kepada 44.3 peratus pada November berbanding serendah 38.5 peratus lapan bulan sebelum itu.

Beliau berkata, walaupun Malaysia terdedah kepada aliran keluar modal berikutan pegangan besar sekuriti kerajaan oleh pelabur asing, beberapa faktor positif akan menyokong ringgit berbanding dolar untuk 2018.

"Ia termasuk jangkaan kelemahan dolar berbanding mata wang utama lain disebabkan pemulihan seragam ekonomi global, prestasi eksport Malaysia yang memberangsangkan, kemantapan ekonomi domestik yang disokong oleh perbelanjaan pengguna dan pelaburan serta jangkaan kenaikan kadar faedah yang membolehkan aliran masuk modal bersih ke negara ini," katanya.

Firma penyelidikan global, BMI Research pula menaikkan unjuran ringgit kepada RM3.90 pada akhir 2018, memandangkan arah aliran kenaikannya terus kelihatan memberangsangkan daripada perspektif teknikal.

Menurutnya, ringgit meraih manfaat daripada kedudukan fiskal yang bertambah baik, tinjauan pertumbuhan positif dan kadar tukaran asing efektif sebenar yang masih lagi di bawah nilai sebenar.

"Walaupun darjah kebimbangan pelabur dijangka meningkat menjelang pilihan raya umum, ia hanya sementara dan berkemungkinan tidak menjejaskan kenaikan ringgit," katanya.

Berita Harian X