Khamis, 22 March 2018 | 6:40pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini sejajar dengan kekukuhan di pasaran saham serantau dan minat belian tinggi terhadap saham wajaran tinggi berkaitan perbankan terpilih.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 11.07 mata untuk ditutup kepada 1,876.87 daripada paras penutup 1,865.8 pada Rabu.

Indeks utama dibuka tinggi naik 0.03 mata kepada 1,865.83 dan bergerak antara paras 1,865.83 dan 1,876.87 sepanjang hari dagangan.

Seorang peniaga berkata kebanyakan pasaran saham Asia Tenggara meningkat apabila prospek kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat bagi tahun ini dilihat tidak cenderung kepada menaik berbanding yang dijangkakan.

"Rizab Persekutuan dalam mengekalkan prospeknya bagi tiga kenaikan kadar tahun ini membantu mengekalkan minat terhadap aset pulangan tinggi dalam pasaran sedang pesat membangun," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 26 sen kepada RM10.54, Public Bank naik 36 sen kepada RM24.04 dan Hong Leong Bank menokok 52 sen kepada RM19.22.

Bagi saham wajaran tinggi lain, Petronas Chemicals turun lapan sen kepada RM8.21 manakala TNB tidak berubah pada RM15.78.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura Energy naik 2.5 sen kepada 54 sen dan SKH meningkat setengah sen kepada sembilan sen tetapi Sumatec susut setengah sen kepada enam sen.

DBE Gurney dan Nexgram tidak berubah masing-masing pada 3.5 sen dan lima sen.

Bagaimanapun, suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 518 berbanding 365, dengan 404 kaunter tidak berubah, 606 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.28 bilion unit bernilai RM2.06 bilion daripada 2.34 bilion unit bernilai RM2.44 bilion pada Rabu.

Indeks FBM Emas meningkat 62.51 mata kepada 13,160.05, Indeks FBMT 100 naik 67.699 mata kepada 12,933.18 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 223.96 mata kepada 13,279.52.

FBM 70 menokok 52.79 mata kepada 15,675.21, tetapi FBM Ace susut 13.03 mata kepada 5,772.81.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 224.99 mata kepada 18,375.75 dan Indeks Perladangan naik 27.5 mata kepada 8,042, manakala Indeks Perusahaan turun 5.08 mata kepada 3,271.7.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.51 bilion unit bernilai RM1.94 bilion daripada 1.64 bilion unit bernilai RM2.33 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 421.15 juta saham bernilai RM59.89 juta daripada 368.23 juta saham bernilai RM52.49 juta pada sebelumnya.

Jumlah dagangan waran naik kepada 346.93 juta unit bernilai RM58.91 juta daripada 325.65 juta unit bernilai RM52.49 juta.

Barangan pengguna menyumbang 141.39 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (228.16 juta), pembinaan (55.89 juta), perdagangan dan perkhidmatan (754.64 juta), teknologi (70.62 juta), prasarana (6.64 juta), SPAC (110.51 juta), kewangan (54 juta), hotel (2.05 juta), hartanah (69.93 juta), perladangan (13.86 juta), perlombongan (92,300), REITs (8.02 juta), dan dana tertutup (11,000).

-- BERNAMA

Berita Harian X