Khamis, 29 March 2018 | 6:40pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini dengan peningkatan dalam saham wajaran tinggi terpilih diimbangi oleh pengambilan untung dalam saham mewah dan saham bermodal kecil yang terlebih beli.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 0.08 peratus atau 1.52 mata lebih rendah kepada 1,856.35 daripada 1,857.87 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks utama dibuka tinggi 1.47 mata kepada 1,859.34 dan bergerak antara 1,854.50 dan 1,860.56 sepanjang sesi dagangan.

Pada akhir dagangan, indeks kurang memberangsangkan semasa dagangan dalam julat kecil.

Suasana pasaran negatif dengan 546 kaunter rugi berbanding 330 kaunter untung, 384 kaunter tidak berubah, 651 tidak diniagakan dan 57 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 1.88 bilion unit bernilai RM2.09 bilion daripada 2.08 bilion unit bernilai RM1.81 bilion pada Rabu.

Peniaga berkata, pasaran saham serantau kebanyakannya tinggi walaupun ditutup lebih rendah di Wall Street, disebabkan penurunan berterusan dalam saham teknologi.

"Pengambilan untung berlaku menjelang Good Friday esok, iaitu cuti umum di Singapura dan Hong Kong.

"Dengan ketidakpastian mengenai ketegangan perdagangan global dan kedudukan sektor teknologi AS, sebahagian pelabur memilih untuk terus berhati-hati dalam tempoh jangka pendek," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM10.52, Public Bank meningkat empat sen kepada RM24.00 dan Tenaga menambah 36 sen kepada RM16.16.

CIMB susut satu sen kepada RM7.16 dan Petronas Chemicals turun 10 sen kepada RM8.15.

Daripada saham yang diniagakan secara aktif, Sapura Energy naik setengah sen kepada 50.5 sen, DBE tidak berubah pada 3.5 sen dan Ekovest meningkat 4.5 sen kepada 31.5 sen.

Indeks FBM Emas jatuh 7.34 mata kepada 12,985.51 manakala Indeks FBMT 100 susut 2.36 mata kepada 12,785.68. Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 2.79 mata kepada 13,162.64.

FBM 70 naik 24.89 mata kepada 15,475.47, manakala FBM Ace merosot 100.89 mata kepada 5,373.13.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 6.32 mata kepada 18,135.18 dan Indeks Perladangan merosot 21.37 mata kepada 7,985.55 dan Indeks Perusahaan berkurangan 2.63 mata kepada 3,226.62.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.28 bilion unit bernilai RM1.96 bilion daripada 1.44 bilion unit bernilai RM1.70 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 206.67 juta saham bernilai RM45.39 juta daripada 318.77 juta saham bernilai RM48.79 juta pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 388.65 juta unit bernilai RM80.44 juta daripada 311.85 juta unit bernilai RM64.93 juta.

Barangan pengguna menyumbang 145.63 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (314.87 juta), pembinaan (130.68 juta), perdagangan dan perkhidmatan (472.77 juta), teknologi (39.31 juta), infrastruktur (14.17 juta), SPAC (8.36 juta), kewangan (44.60 juta), hotel (3.09 juta), hartanah (80.01 juta), perladangan (22.12 juta), perlombongan (214,200), REIT (13.36 juta) dan dana tertutup (5,000). - BERNAMA

Berita Harian X