Jumaat, 30 March 2018 | 6:53pm

Bursa Malaysia ditutup positif

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pada suku pertama tahun ini dengan positif hari ini, dengan peningkatan berterusan dalam saham wajaran tinggi dan saham permodalan sederhana terpilih, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 0.38 peratus atau 7.11 mata lebih kukuh kepada 1,863.46 daripada 1,856.35 semasa ditutup pada Khamis, selepas dibuka tinggi 3.02 mata kepada 1,859.37.

Indeks utama bergerak antara 1,856.30 dan 1,866.35 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran positif, dengan 476 kaunter untung berbanding 384 kaunter rugi, manakala 396 kaunter tidak berubah, 656 tidak diniagakan dan 57 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 1.82 bilion unit bernilai RM1.90 bilion daripada 1.88 bilion unit bernilai RM2.09 bilion pada Khamis.

Peniaga berkata, pasaran saham tempatan meningkat semula, mengambil petunjuk daripada Wall Street yang ditutup tinggi, walaupun sebahagian pasaran serantau ditutup sempena cuti Good Friday.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga, masing-masing naik lapan sen kepada RM10.60 dan RM16.24, Public Bank tidak berubah pada RM24.00, CIMB meningkat tiga sen kepada RM7.19, dan Petronas Chemicals menokok 11 sen kepada RM8.26.

Daripada saham yang diniagakan secara aktif, Sapura Energy naik setengah sen kepada 50.5 sen, DBE tidak berubah pada 3.5 sen dan Ekovest meningkat 4.5 sen kepada 31.5 sen.

Indeks FBM Emas menambah 60.08 mata kepada 13,045.59, Indeks FBMT 100 meningkat 63.34 mata kepada 12,849.02 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 68.10 mata kepada 13,230.74.

FBM 70 melonjak 125.92 mata kepada 15,601.39 dan FBM Ace menokok 82.76 mata kepada 5,455.89.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 92.79 mata kepada 18,227.97, Indeks Perladangan meningkat 15.83 mata kepada 8,001.38 dan Indeks Perusahaan menambah 11.05 mata kepada 3,237.67.

Jumlah dagangan Pasaran Utama jatuh kepada 1.18 bilion unit bernilai RM1.80 bilion daripada 1.28 bilion unit bernilai RM1.96 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 411.93 juta saham bernilai RM67.92 juta daripada 206.67 juta saham bernilai RM45.39 juta pada Khamis.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 223.22 juta unit bernilai RM22.59 juta daripada 388.65 juta unit bernilai RM80.44 juta.

Barangan pengguna menyumbang 54.36 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (292.70 juta), pembinaan (80.73 juta), perdagangan dan perkhidmatan (461.44 juta), teknologi (41.71 juta), infrastruktur (8.28 juta), SPAC (95.74 juta), kewangan (50.73 juta), hotel (1.71 juta), hartanah (70.50 juta), perladangan (16.13 juta), perlombongan (127,800), REIT (11.88 juta), dan dana tertutup (40,000).

-- BERNAMA

Berita Harian X