Khamis, 2 Ogos 2018 | 8:01pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini mengakhiri peningkatan lapan hari berturut-turutnya berikutan tekanan jualan sejajar dengan prestasi lemah bursa serantau susulan peningkatan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, kata peniaga.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 10.18 mata kepada 1,778.13 daripada paras penutup 1,788.31 pada Rabu.

Pada 9.09 pagi, indeks itu dibuka tinggi naik 1.48 mata kepada 1,789.79.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 658 berbanding 246, dengan 408 kaunter tidak berubah, 564 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.09 bilion unit bernilai RM1.98 bilion daripada 2.32 bilion unit bernilai RM2.05 bilion pada Rabu.

Terdahulu pada dagangan awal hari ini, Bursa Malaysia mengalami masalah teknikal yang menyebabkan gangguan dalam indeks tertentu termasuk data pembukaan FBM KLCI.

Aktiviti jualan dilihat berlaku dalam seluruh papan. Menerajui senarai kaunter rugi ialah Nestle yang jatuh 40 sen kepada RM146.90, United Plantations susut 32 sen kepada RM26.80 dan HLFG berkurangan 28 sen kepada RM17.80.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata berita bahawa AS merancang mengenakan tarif tinggi 25 peratus daripada 10 peratus terhadap barangan import China bernilai US$200 bilion telah menjejaskan sentimen.

"Bagaimanapun, ini adalah pembetulan terlebih beli kerana tidak ada berlaku penjualan dana asing yang serius. Situasi itu akan stabil semula," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM9.84, Public Bank dan Tenaga susut dua sen setiap satu masing-masing kepada RM24.18 dan RM15.28, manakala Petronas Chemicals dan CIMB tidak berubah masing-masing pada RM9.01 dan RM5.85.

Dalam kalangan kaunter cergas, PWorth dan Sumatec tidak berubah masing-masing pada 7.5 sen dan empat sen, MYEG turun empat sen kepada RM1.17 dan Sapura Energy susut satu sen kepada 59 sen.

Indeks FBM Emas turun 84.45 mata kepada 12,581.75, Indeks FBMT 100 berkurangan 81.17 mata kepada 12,371.67 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 116.14 mata kepada 12,715.90.

FBM 70 turun 139.75 mata kepada 15,433.78 dan Indeks FBM Ace susut 30.90 mata kepada 5,414.77.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 67.94 mata kepada 7,561.82, Indeks Perusahaan turun 31.37 mata kepada 3,260.57 dan Indeks Kewangan susut 42.71 mata kepada 17,454.85.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.28 bilion saham bernilai RM1.79 bilion daripada 1.38 bilion saham bernilai RM1.81 bilion yang dicatatkan pada Rabu.

Jumlah dagangan waran naik kepada 486.83 juta saham bernilai RM128.93 juta berbanding 448.63 juta unit bernilai RM114.16 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 315.51 juta saham bernilai RM63.35 juta daripada 490.07 juta saham bernilai RM127.30 juta.

Barangan pengguna menyumbang 56.83 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (267.08 juta), pembinaan (89.79 juta), perdagangan dan perkhidmatan (531.82 juta), teknologi (72.50 juta), prasarana (19.19 juta), SPAC (231,400), kewangan (44.46 juta), hotel (748,600), hartanah (176.31 juta), perladangan (21.30 juta), perlombongan (78,000), REITs (7.27 juta), dan dana tertutup (47,000). - BERNAMA

Berita Harian X