Isnin, 24 Disember 2018 | 5:47pm
Harga minyak meningkat sedikit hari ini, selepas penyusutan ke paras rendah 15 bulan baru-baru ini. - Foto hiasan

Harga minyak mentah global meningkat

LONDON: Harga minyak meningkat sedikit hari ini, selepas penyusutan ke paras rendah 15 bulan baru-baru ini dijangka memberi kesan kepada output di Amerika Syarikat, pengeluar minyak mentah terbesar dunia.

Bagaimanapun, peningkatan itu dihadkan susulan kebimbangan terhadap unjuran permintaan minyak.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 12 cent kepada AS$53.94 satu tong pada 0858 GMT, manakala niaga hadapan minyak mentah AS susut 3 cent kepada AS$45.56.

Brent pada minggu lalu menyusut 11 peratus, mencecah paras terendah sejak September 2017, manakala niaga hadapan AS menyusut ke paras terendah sejak Julai 2017.

Ia sekali gus menunjukkan kedua-dua kontrak itu mencatatkan penyusutan 35 peratus untuk suku semasa.

Penyusutan harga itu menyebabkan pengeluar minyak syal AS mengurangkan kerja-kerja penggerudian untuk tahun depan.

Peningkatan output syal baru-baru ini menjadikan AS sebagai pengeluar minyak terbesar dunia, mengatasi Arab Saudi dan Russia.

Harga fizikal untuk Brent turut menyusut dalam tempoh enam minggu lalu, didorong penurunan permintaan daripada China, yang memberi tekanan kepada nilai setiap tong minyak mentah dari North Sea hingga Nigeria.

“Kelemahan struktur fizikal Brent boleh dikaitkan dengan penyusutan pembelian dari Asia, dengan pengambilan rendah pada akhir suku pertama, dan kita boleh menjangkakan tekanan ini akan berlangsung pada tempoh beberapa minggu akan datang,” kata JBC Energy.

Bagaimanapun, gambaran makro ekonomi dan impaknya terhadap permintaan minyak terus memberi tekanan kepada harga.

Ekuiti global sudah menyusut hampir 9.5 peratus setakat ini untuk Disember, penurunan sebulan terbesar sejak September 2011. - REUTERS

Berita Harian X