Rabu, 26 Disember 2018 | 5:31pm
Harga minyak dunia ditutup bercampur-campur hari ini. - Foto hiasan

Harga minyak Brent hampir ke bawah AS$50 setong

SEOUL: Harga minyak dunia ditutup bercampur-campur hari ini apabila penanda aras Amerika Syarikat (AS) pulih daripada kerugian pada sesi sebelumnya, walaupun kebimbangan terhadapan ekonomi global terus memberi tekanan kepada pasaran.

Niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) AS, naik 13 cent atau 0.31 peratus kepada AS$42.66 setong pada 0748 GMT. Harga komoditi itu naik 2.0 peratus pada sesi awal kemudian susut 6.7 peratus pada sesi sebelumnya kepada AS$42.53 setong, terendah sejak Jun 2017.

Brent turun 29 cent atau 0.57 peratus kepada AS$50.18 setong, terendah sejak Julai 2017.

“AS$50 adalah paras sokongan psikologi bagi Brent,” kata penganalisis pasaran bagi CMC Markets di Singapura, Margaret Yang.

“Bagaimanapun, keyakinan pasaran perlu dipulihkan bagi harga minyak... yang termasuk pemulihan pasaran ekuiti dan/atau pemotongan pengeluaran yang lebih besar daripada pengeksport utama minyak dunia,” kata Yang merujuk kepada perjanjian yang diketuai Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk menurunkan output mulai bulan depan.

Pasaran kewangan berada di bawah tekanan berikutan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi global di tengah-tengah kadar faedah AS yang lebih tinggi dan pertikaian perdagangan AS-China.

Niaga hadapan ekuiti AS sedikit lebih kukuh pagi ini yang mencetuskan sedikity minat belian di pasaran minyak,” kata ketua perdagangan Asia Pasifik di niaga hadapan broker Oanda di Singapura, Stephen Innes.

OPEC dan sekutunya, Russia bersetuju untuk memotong bekalan sehingga 1,2 juta tong sehari pada bulan ini.

Sementara itu, Menteri Tenaga Russia, Alexander Novak berkata harga minyak dunia akan kembali stabil pada separuh pertama 2019, disokong oleh kerjasama OPEC dan bukan OPEC untuk mengurangkan output. - Reuters

Berita Harian X