Isnin, 18 Februari 2019 | 10:35am
Pada jam 9.36 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,694.28, naik 5.45 mata daripada penutup Jumaat iaitu 1,688.83. - Foto hiasan
Pada jam 9.36 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,694.28, naik 5.45 mata daripada penutup Jumaat iaitu 1,688.83. - Foto hiasan

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi berikutan permintaan lebih baik ketika sentimen pasaran dipacu keuntungan kukuh dalam saham Amerika Syarikat (AS).

Pada jam 9.36 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,694.28, naik 5.45 mata daripada penutup Jumaat iaitu 1,688.83.

Indeks dibuka 5.09 mata lebih kukuh kepada 1,693.92.

Public Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan, berkata saham AS lebih kukuh memacu FBM KLCI selepas pelabur menaruh keyakinan bahawa Beijing dan Washington masih mampu menguruskan krisis bagi mengelakkan perang dagang terus memuncak di antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Bank pelaburan itu, berkata pada minggu ini, FBM KLCI dijangka melangkaui trajektori mendatar antara 1,700 dan 1,680 mata.

Di pasaran Wall Street, penanda aras S&P 500 menokok 1.1 peratus, kenaikan harian tertinggi pada Februari, sementara Purata Perindustrian Dow Jones menambah 1.7 peratus, manakala Komposit Nasdaq meningkat 0.6 peratus.

“Selepas AS dan China mengadakan perbincangan pertama minggu ini dalam tempoh beberapa bulan, kedua-dua pihak dijangka bertemu sekali lagi minggu ini di Washington,” katanya.

Dikalangan saham berwajaran tinggi, Maybank menambah tiga sen kepada RM9.50, Public Bank menokok enam sen kepada RM24.98 dan Tenaga tidak berubah kepada RM13.04.

Di kaunter aktif pula, Sapura Energy meningkat satu sen kepada 31.5 sen, sementara Borneo Oil dan Eduspec Holdings, masing-masing meningkat setengah sen kepada lima sen dan 3.5 sen.

Indeks FBM Emas menokok 44.22 mata kepada 11,794.49, manakala Indeks FBM Emas Shariah menokok 41.62 mata kepada 11,705.22 dan FBMT 100 menambah 41.81 mata kepada 11,654.72.

Indeks FBM Ace, 39.37 mata lebih tinggi kepada 4,685.96 dan FBM 70 menambah 68.35 mata kepada 14,096.55.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 53.35 mata kepada 17,685.92, Indeks Perladangan menokok 1.06 mata kepada 7,336.49, manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan 0.15 mata kepada 163.28.

Pasaran berada dalam jajaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi dengan 324 berbalas 131, sementara 245 kaunter tidak berubah, 1,166 tidak didagangkan dan 33 lagi digantung.

Jumlah dagangan berada pada 601.50 juta saham bernilai RM213.17 juta.

-- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X