Rabu, 8 Mei 2019 | 6:49pm
Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.82 mata untuk ditutup kepada 1,633.55 daripada paras penutup 1,639.37 pada Selasa. - Foto hiasan

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini dipengaruhi oleh peningkatan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, penurunan nilai ringgit dan kelemahan komoditi.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.82 mata untuk ditutup kepada 1,633.55 daripada paras penutup 1,639.37 pada Selasa, dengan saham produk pengguna menerajui penurunan.

Indeks itu dibuka pada 1,635.56 turun sebanyak 3.81 mata dan berlegar antara paras 1,627.38 dan 1,635.56 sepanjang hari dagangan.

Keseluruhannya, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 551 berbanding 265 dengan 396 kaunter tidak berubah, 694 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.47 bilion saham bernilai RM2.06 bilion daripada 3.02 bilion saham bernilai RM2.25 bilion pada Selasa.

Pasaran menyaksikan peningkatan keadaan tidak menentu selepas perkembangan terkini global menunjukkan tindak balas berterusan Presiden AS Donald Trump terhadap barangan China.

Menurut Phillip Capital Management, ekuiti Asia-Pasifik merosot disebabkan peningkatan ketegangan perdagangan antara AS dan China, menyebabkan pasaran ekuiti global mencatatkan satu daripada penurunan terbesar dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Perkembangan terkini mengenai ketegangan perdagangan AS-China itu menyebabkan keadaan kucar kacir dalam ekuiti AS semalaman,” kata Naib Presiden Kanannya (pelaburan), Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan kepada Bernama.

Pasukan perunding Beijing dijangka memulakan rundingan dengan perunding Amerika di Washington pada Khamis dan Jumaat bagi mencapai perjanjian perdagangan.

Nazri berkata, ketegangan yang berlaku tercetus selepas ciapan Trump di laman Twitternya pada Ahad yang mengancam untuk menaikkan tarif ke atas produk China pada minggu ini.

Sementara itu, susulan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia pada Selasa, saham perbankan kebanyakannya tinggi diterajui oleh RHB, yang meningkat 13 sen kepada RM5.82, manakala AMMB menokok 11 sen kepada RM4.55 dan Hong Leong naik enam sen kepada RM19.86.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM8.97, Public Bank turun lapan sen kepada RM22.40, Petronas Chemicals berkurangan 13 sen kepada RM8.92 dan Tenaga jatuh 12 sen kepada RM12.02.

Dalam kalangan saham diniagakan cergas, Bumi Armada susut satu sen kepada 20.5 sen, IFCA turun setengah sen kepada 46.5 sen dan Ekovest berkurangan satu sen kepada 90 sen, tetapi Econpile meningkat 1.5 sen kepada 69 sen.

Indeks FBM Emas turun 48.22 mata kepada 11,538.02, FBMT 100 susut 47.97 mata kepada 11,368.04 dan FBM 70 berkurangan 90.40 mata kepada 14,288.03.

Indeks FBM Emas Shariah turun 67.28 mata kepada 11,764.53 dan Indeks FBM Ace susut 51.61 mata kepada 4,557.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 3.37 mata kepada 16,706.24, Indeks Perladangan susut 20.45 mata kepada 7,165.78 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.17 mata kepada 167.80.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.35 bilion saham bernilai RM1.8 bilion daripada 1.97 bilion saham bernilai RM2.02 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran susut kepada 554.39 juta unit bernilai RM170.12 juta berbanding 578.04 juta unit bernilai RM165.19 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 562.39 juta saham bernilai RM89.53 juta berbanding 472.65 juta saham bernilai RM54.17 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 168.00 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (172.19 juta), pembinaan (275.68 juta), teknologi (72 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (55.30 juta), hartanah (110.49 juta), perladangan (20.57 juta), REITs (11.32 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (344.01 juta), penjagaan kesihatan (32.04 juta), telekomunikasi dan media (53.93 juta), pengangkutan dan logistik (18.27 juta), dan utiliti (19.09 juta). - BERNAMA

Berita Harian X