Khamis, 13 Jun 2019 | 6:58pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan sentimen lemah serantau dalam keadaan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang terus berlarutan tanpa sebarang penyelesaian, kata peniaga.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.00 mata untuk ditutup kepada 1,643.74 berbanding paras penutup 1,650.74 pada Rabu.

Indeks utama itu yang dibuka rendah turun 6.66 mata kepada 1,644.08 pagi ini, bergerak antara paras 1,640.30 dan 1,646.22 sepanjang hari dagangan.

Bagaimanapun, suasana pasaran positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 397 berbanding 380, manakala 393 kaunter tidak berubah, 718 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.04 bilion unit bernilai RM1.98 bilion daripada 1.76 bilion unit bernilai RM1.60 bilion yang dicatatkan pada Rabu.

Seorang peniaga berkata Bursa Malaysia berada dalam bahagian negatif sepanjang sesi dagangan hari ini ekoran penurunan dalam saham berkaitan indeks diterajui oleh Tenaga dan Genting Bhd yang kedua-duanya menyumbang 3.12 mata kepada penurunan indeks komposit itu.

Saham Asia diniagakan kebanyakannya rendah seiring dengan penurunan semalaman di Wall Street di tengah-tengah ketidakpastian yang berpanjangan berhubung pertikaian perdagangan AS-China dan kebimbangan isu itu akan terus berlarutan sehingga Sidang Kemuncak G20 yang akan datang di Tokyo lewat bulan ini, katanya.

Sementara itu, harga minyak berada di paras terendahnya dalam tempoh lima bulan berikutan inventori minyak mentah AS yang tinggi dengan prospek permintaan suram juga menyumbang kepada sentimen lemah.

Di peringkat serantau, Indeks Singapore Straits Times Index meningkat 0.22 peratus kepada 3,214.95, Nikkei Jepun turun 0.46 peratus kepada 21,032, Hang Seng Hong Kong jatuh 0.05 peratus kepada 27,294.71, Kospi Korea Selatan berkurangan 0.27 peratus kepada 2,103.15 dan SSE Shanghai naik 0.05 peratus kepada 2,910.74.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM8.96, Public Bank susut enam sen kepada RM23.42, Tenaga jatuh 22 sen kepada RM12.32 dan Petronas Chemicals berkurangan dua sen kepada RM8.31.

CIMB meningkat dua sen kepada RM5.32.

Dalam kalangan saham yang diniagakan cergas, Greatech yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE hari ini meningkat 13 sen kepada 74 sen, Sapura Energy naik 1.5 sen kepada 31.5 sen, Ekovest menokok satu sen kepada 84 sen, Iskandar Waterfront menambah dua sen kepada 99 sen, manakala Priceworth International susut setengah sen kepada 6.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 22.33 mata kepada 11,608.58, Indeks FBMT 100 susut 26.92 mata kepada 11,454.24 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 11.08 mata kepada 11,833.99.

FBM Ace turun 24.41 mata kepada 4,424.54 tetapi FBM 70 meningkat 54.23 mata kepada 14,458.23.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 12.43 mata kepada 6,880.78, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.39 mata kepada 160.64, tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 29.86 mata kepada 16,806.35.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.18 bilion saham bernilai RM1.69 bilion daripada 1.05 bilion saham bernilai RM1.45 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran naik kepada 483.19 juta unit bernilai RM111.76 juta daripada 443.93 juta unit bernilai RM97.72 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE melonjak kepada 370.23 juta saham bernilai RM176.86 juta daripada 260.60 juta saham bernilai RM54.77 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 159.09 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (233.35 juta), pembinaan (151.69 juta), teknologi (84.72 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (38.98 juta), hartanah (103.97 juta), perladangan (10.98 juta), REITs (12.83 juta), dana tertutup (14,300), tenaga (289.40 juta), penjagaan kesihatan (15.44 juta), telekomunikasi dan media (42.15 juta), pengangkutan dan logistik (21.55 bilion) dan utiliti (20.40 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X