Jumaat, 28 Jun 2019 | 7:21pm

Harga minyak susut, Brent pada AS$66.20 setong

SEOUL: Harga minyak susut pada Jumaat apabila menunggu sebarang perkembangan terkini perang perdagangan Sino-Amerika Syarikat (AS), yang mana presiden kedua-dua negara berkenaan dijadualkan mengadakan pertemuan hujung minggu ini pada Sidang Kemuncak G20.

Niaga hadapan minyak mentah Brent susut 35 cents, atau 0.5 peratus pada AS$66.20 setong pada 0644 GMT.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS jatuh 30 cents, atau 0.5 peratus, pada AS$59.13 setong.

Ketua negara G20 mengadakan pertemuan pada Jumaat dan Sabtu di Osaka, Jepun, namun pertemuan paling dinantikan adalah antara Presiden AS, Donald Trump dengan Presiden China, Xi Jinping pada esok.

Pertikaian perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu memberatkan harga minyak, sekali gus menimbulkan kebimbangan yang memperlahankan pertumbuhan ekonomi serta menjejaskan permintaan komoditi itu.

“Walaupun tidak ada jangkaan ‘perdamaian’ antara kedua-dua pihak, ia akan menetapkan ‘adegan’ dalam mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang akan diadakan beberapa hari lagi,” kata ANZ Bank dalam notanya.

Trump berkata, perbincangan dengan Jinping mungkin pada Sabtu dan beliau mungkin bersedia untuk mengenakan tarif ke atas AS, jika tiada persetujuan yang diperoleh.

“Meskipun rundingan perdagangan AS-China berubah positif, kami fikir OPEC akan memanjangkan tempoh pemotongan pengeluaran sehingga akhir tahun ini.

“Bagaimanapun, langkah pemotongan yang berterusan dijangka tidak mungkin berlaku memandangkan isu penawaran yang semakin meningkat,” kata ANZ. - REUTERS

Berita Harian X