Khamis, 18 Julai 2019 | 7:14pm

Bursa Malaysia susut 8.6 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah harian ekoran sentimen lemah selain mengambil petunjuk daripada kerugian semalaman dalam pasaran global.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 0.52 peratus atau 8.6 mata lebih rendah kepada 1,648.93, berbanding 1,657.53 semalam.

PChem menyumbang 4.18 mata kepada kerugian dalam indeks komposit.

Indeks penanda aras dibuka 0.27 mata lebih tinggi kepada 1,657.80 awal hari ini dan bergerak antara 1,648.93 dan 1,659.94 di sepanjang hari.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 575 berbanding 270, manakala 388 kaunter tidak berubah, 658 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata walaupun pasaran merosot, masih ada harapan untuk kembali pulih, namun ia melibatkan kaunter terpilih.

“Mungkin kaunter minyak dan gas disebabkan beberapa kelulusan kontrak, penyambungan semula projek, selain automotif, susulan jumlah data industri yang baik, manakala pengukuhan ringgit sudah pasti menyokong automotif,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata pasaran tempatan sudah mencatatkan peningkatan dalam aliran masuk dana asing, susulan unjuran penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS).

“Sama ada penurunan itu sekali atau dua kali, ia mungkin memberi impak ke atas aliran dana dan diikuti ke atas instrumen asas seperti ekuiti dan bon," katanya.

Antara saham wajaran tinggi, PChem susut 30 sen kepada RM7.62, Maxis turun tiga sen kepada RM5.61, Tenaga Nasional merosot 14 sen kepada RM13.42, Sime Darby Plantation turun 11 sen kepada RM4.70, manakala Public Bank merosot 10 sen kepada RM22.86.

Bagi saham aktif, Green Packet menambah empat sen kepada 44.5 sen, warannya meningkat setengah sen kepada 12.5 sen, Impiana Hotel menokok setengah sen kepada tiga sen, KNM susut empat sen kepada 35 sen manakala warannya turun 2.5 sen kepada 26.5 sen, dan I-Stone susut 3.5 sen kepada 21 sen.

Indeks FBM Emas merosot 61.33 mata kepada 11,716.25, Indeks FBMT 100 turun 57.64 mata kepada 11,543.91, manakala Indeks Syariah FBM Emas merosot 83.20 mata kepada 12,065.66.

FBM Ace menokok 9.44 mata kepada 4,678.95 dan FBM 70 turun 63.29 mata kepada 14,789.99.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 38.89 mata pada 16,552.67, Indeks Perladangan susut 55.91 mata kepada 6,821.12 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 2.24 mata kepada 155.33.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.83 bilion unit bernilai RM1.84 bilion daripada 3.82 bilion unit bernilai RM1.96 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.91 bilion saham bernilai RM1.66 bilion berbanding 2.59 bilion saham bernilai RM1.71 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran merosot sedikit kepada 380.21 juta unit bernilai RM73.05 juta daripada 389.17 juta unit bernilai RM74.17 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 545.44 juta saham bernilai RM97.35 juta daripada 843.76 juta saham bernilai RM178.39 juta pada hari Rabu.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 326.94 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (208.25 juta), pembinaan (129.90 juta), teknologi (125.69 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (35.49 juta) 69.20 juta), perladangan (7.83 juta), REIT (14.02 juta), dana/tertutup (3,000), tenaga (686.0 juta), penjagaan kesihatan (18.53 juta), telekomunikasi dan media (231.10 juta) , dan utiliti (27.85 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X