Khamis, 25 Julai 2019 | 7:04pm
Saham perladangan yang mendapat rangsangan daripada harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih baik membantu Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini. - Foto hiasan

Bursa Malaysia ditutup tinggi disokong saham perladangan

KUALA LUMPUR: Saham perladangan yang mendapat rangsangan daripada harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih baik membantu Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, kata peniaga.

Dalam kalangan syarikat perladangan berkaitan indeks, KLK meningkat 18 sen kepada RM23.82, IOI naik lima sen kepada RM4.25 dan Sime Darby Plantation menokok empat sen kepada RM4.82.

Semua kaunter ini secara bersama-sama menyumbang 1.37 mata kepada peningkatan indeks utama itu.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.17 mata atau 0.25 peratus ke paras tertinggi harian pada 1,656.58 berbanding 1,652.41 pada Rabu.

Indeks itu dibuka 1.33 mata lebih tinggi kepada 1,653.74 dan bergerak antara paras 1,650.32 dan 1,656.58 sepanjang hari dagangan.

Bagaimanapun, suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 500 berbanding 301, manakala 435 kaunter tidak berubah, 684 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.76 bilion unit bernilai RM2 billon berbanding 3.22 bilion unit bernilai RM2.29 bilion sebelumnya.

Ketua Penyelidikan di Inter-Pacific Securities, Pong Teng Siew, berkata harga MSM bertambah baik selepas dagangan dalam aliran menurun.

Harga komoditi itu mula meningkat berikutan jangkaan eksport ke China dan India akan meningkat tidak lama lagi.

“Ini telah meningkatkan harga MSM. Ia juga mengimbangi dagangan tidak menentu di Bursa Malaysia dan mengehadkannya daripada turun di bawah paras 1,650,” katanya kepada Bernama.

Pong, bagaimanapun berkata bursa tempatan dan pasaran ekuiti serantau masih diniagakan berhati-hati apabila pelabur menunggu hasil daripada mesyuarat dasar monetari Bank Pusat Eropah hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tiniggi, Maybank turun satu sen kepada RM8.75, Public Bank susut dua sen kepada RM22.68, Tenaga tidak berubah pada RM13.74 dan PetChem naik 15 sen kepada RM7.65.

Bagi kaunter cergas, KNM menokok setengah sen kepada 41.5 sen manakala waran Netx dan Green Packet kedua-duanya tidak berubah masing-masing pada 1.5 sen dan 13 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 6.78 mata kepada 11,763.32, Indeks FBMT 100 menokok 9.52 mata kepada 11,585.90 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 4.78 mata kepada 12,138.04.

FBM 70 susut 67.71 mata kepada 14,796.63 dan FBM Ace berkurangan 0.42 mata kepada 4,767.11.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 11.82 mata kepada 16,431.69, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.82 mata kepada 156.21 dan Indeks Perladangan naik 41.69 mata kepada 6,846.60.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.92 bilion saham bernilai RM1.86 bilion daripada 2.25 bilion saham bernilai RM2.1 bilion yang dicatatkan pada Rabu.

Jumlah dagangan waran turun kepada 378.21 juta unit bernilai RM72.39 juta berbanding 520.19 juta unit bernilai RM105.67 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik sedikit kepada 459.72 juta saham bernilai RM71.68 juta daripada 445.06 juta saham bernilai RM83.25 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 240.82 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (178.94 juta), pembinaan (133.55 juta), teknologi (169.16 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (41.33 juta), hartanah (69.58 juta), perladangan (10.46 juta), REITs (11.68 juta), dana tertutup (1,000), tenaga (549.19 juta), penjagaan kesihatan (24.20 juta), telekomunikasi dan media (453.53 juta), pengangkutan dan logistik (18.94 juta) dan utiliti (20.08 juta). - BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X