Isnin, 19 Ogos 2019 | 10:41am

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka tinggi hari ini apabila indeks tempatan bergerak seiring bursa serantau dengan disokong keyakinan bahawa pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan reda.

Menurut penganalisis, prestasi positif Bursa ketika dibuka juga didorong data Keluaran Dalam Negara Kasar suku kedua yang diumumkan Jumaat lepas, menunjukkan ekonomi kukuh Malaysia.

Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras menambah 0.3 mata kepada 1,599.52 selepas dibuka 3.71 mata lebih rendah pada 1,595.51.

Barometer pasaran ditutup pada 1,599.20 pada Jumaat minggu lepas.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 146 berbanding 63, manakala 144 kaunter tidak berubah, 1,577 kaunter tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 98.24 juta unit bernilai RM42.19 juta.

Nikkei Jepun meningkat 125.84 mata kepada 20,544.65, Hang Seng Hong Kong melonjak 238.72 mata kepada 25,734.22, Kospi Korea Selatan menokok 6.28 mata kepada 1,933.45 dan Indeks Komposit Jakarta menambah 29.07 mata kepada 6,286.66.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata FBM KLCI masih tidak berubah daripada paras 1,600 mata selepas penurunan baru-baru ini namun memiliki sokongan mencukupi untuk bertahan.

“Bagaimanapun, sentimen pasaran keseluruhannya kekal suram dengan sedikit petunjuk penting untuk memberi panduan kepada peserta pasaran.

“Justeru itu, kami yakin pergerakan meningkat semula masih sukar walaupun kami berpandangan pemulihan jangka terdekat sewajarnya dicatatkan susulan aktiviti pembelian semasa harga murah yang sederhana,” menurutnya.

Firma itu juga meningkatkan paras rintangan barometer pasaran kepada 1,610 bagi jangka terdekat dengan paras sokongan kekal pada 1,580-1,590.

Saham berwajaran tinggi, Dialog dan Sime Darby masing-masing menambah dua sen kepada RM3.55 dan RM2.18, manakala Tenaga Nasional menokok enam sen kepada RM13.74.

Bagaimanapun, saham berkaitan perladangan mencatatkan prestasi rendah berikutan laporan bahawa India akan memulakan kajian sama ada peningkatan import minyak sawit bertapis dari Malaysia telah menyebabkan impak yang serius terhadap industri domestik.

Kuala Lumpur Kepong merosot 38 sen kepada RM23.94 manakala PPB turun 18 sen kepada RM18.60.

Bagi saham paling aktif, Sapura Energy menokok setengah sen kepada 27.5 sen, Sealink naik satu sen kepada 26 sen, Naim menambah 2.5 sen kepada RM1.00, manakala KNM dan Bumi Armada masing-masing kekal pada 38 sen dan 22 sen.

FBM Ace naik 35.62 mata kepada 46.23, FBM 70 menokok 40.85 mata kepada 14,144.97, Indeks FBM Emas menambah 11 mata kepada 11,319.11, Indeks FBM Emas Syariah turun 19.27 mata kepada 11,823.95 dan Indeks FBMT 100 meningkat 9.18 mata kepada 11,154.84.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 80.61 mata kepada 15,605.12, Indeks Perladangan susut 50.13 mata kepada 6,708.24 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.30 mata kepada 150.02.

-- BERNAMA

78 dibaca
Berita Harian X