Isnin, 19 Ogos 2019 | 7:06pm

Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini dengan dagangan dalam jajaran kecil, berikutan pelabur menunggu arah tuju pasaran seterusnya ketika kedudukan global yang kini tidak menentu.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) ditutup 2.77 mata lebih rendah pada 1,596.45, selepas didagangkan antara 1,594.84 dan 1,602.03 di sepanjang hari.

Indeks dibuka 3.71 mata lebih rendah pada 1,595.51 seleps ditutup 1,599.22 Jumaat lalu.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara meluas, sentimen kekal kukuh dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 429 berbanding 349, manakala 401 kaunter tidak berubah, 751 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.21 bilion unit bernilai RM1.59 bilion berbanding 1.78 bilion unit bernilai RM1.44 bilion Jumaat lalu.

Rakan pengurusan VM Markets Pte Ltd, Stephen Innes, berkata kesan domino minggu lalu dari China dan masalah ekonomi di zon Euro menyebabkan keluk AS terbalik, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan pelabur apabila munculnya amaran mengenai kemelesetan.

"Dengan enjin ekonomi dunia masih tidak menentu, dan mengharapkan beberapa bank pusat utama melaksanakan pelan rangsangan, pelabur masih menaruh harapan ke atas dasar bank pusat,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata, selepas beberapa penurunan kadar yang mengejutkan oleh pelbagai bank pusat sejak beberapa minggu lalu disebabkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan serta ketegangan perdagangan global, pelabur sudah pasti mengharapkan Rizab Persekutuan AS menurunkan lagi kadar faedah pada 18 September.

Sementara itu, MIDF Research menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan dengan penuh keyakinan dan mengukuh kepada sasaran akhir tahun pada 1,720 mata, dan pada separuh pertama, RM5 bilion jumlah aliran masuk bersih dicatatkan dengan penerima manfaat utama terdiri daripada saham utiliti, penjagaan kesihatan dan saham berkaitan minyak dan gas.

"Purata harian dagangan masih berada pada tahap yang sihat, melepas RM2.03 bilion saham dalam sehari walaupun berlaku aliran keluar bersih semasa.

"Indeks modal kecil FBM dan Indeks FBM 70 jauh melebihi prestasi Indeks FBM KLCI pada asas tahunan, mencatatkan keuntungan masing-masing sebanyak 15.8 peratus dan 8.1 peratus," katanya.

Bagi prestasi saham berwajaran tinggi, Digi dan Dialog susut lima sen kepada RM4.97 dan RM3.48, Kuala Lumpur Kepong turun 24 sen kepada RM23.78, IHH tidak berubah pada RM5.69 manakala Press Metal naik satu sen kepada RM4.80.

Bagi saham paling aktif, Sumatec turun satu sen kepada 2.5 sen, Sapura Energy tidak berubah pada 27 sen, Vsolar meningkat setengah sen pada 15 sen, Naim melonjak 18.5 sen kepada RM1.16, manakala KNM dan NETX kedua-duanya turun masing-masing setengah sen kepada 37.5 sen dan 1.5 sen.

Indeks FBM Emas Shariah merosot 2.89 mata kepada 11,840.32, Indeks FBM Emas turun 0.22 mata kepada 11,307.89, Indeks FBMT 100 turun 2.75 mata kepada 11,142.90 manakala FBM Ace menambah 30.74 mata kepada 4,618.46 dan FBM 70 menokok 64.74 mata kepada 14,138.86.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 10.99 mata kepada 15,535.50, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik sedikit sebanyak 0.84 mata kepada 150.56, dan Indeks Perladangan susut 10.77 mata kepada 6,747.60.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.43 bilion bernilai RM1.44 bilion berbanding 1.13 bilion unit bernilai RM1.30 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 3.62 juta unit bernilai RM75.79 juta daripada 404.74 juta unit bernilai RM95.41 juta.

Sementara itu, jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 410.17 juta bernilai RM77.03 juta daripada 250.02 juta unit bernilai RM387.33 juta pada Jumaat lalu.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 249.38 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (157.91 juta), pembinaan (83.04 juta), teknologi (125.82 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (33.07 juta) 140.77 juta), perladangan (10.12 juta), REIT (6.91 juta), dana tertutup (54,000), tenaga (503.78 juta), penjagaan kesihatan (14.15 juta), telekomunikasi dan media (63.98 juta) manakala utiliti (10.41 juta).

-- BERNAMA

48 dibaca
Berita Harian X