Selasa, 20 Ogos 2019 | 2:54pm

Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur akhiri sesi pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur pada akhir dagangan pagi, dengan indeks melepasi paras ketahanan 1,600 pada tengah hari.

Pada rehat tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 4.39 mata kepada 1,600.84 berbanding 1,596.45 pada penutupan Jumaat.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 322 berbanding 312, manakala 359 kaunter tidak berubah, 951 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.10 bilion saham bernilai RM706.16 juta.

Seorang penganalisis berkata, pelabur terus berhati-hati dan kini memberi tumpuan kepada ekuiti wajaran tinggi terpilih manakala sebahagian lagi beralih tumpuan kepada bon kerajaan.

“Kami dapati syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas dan kaunter berkaitan dan Malaysia Airports menjadi antara kaunter paling untung hari ini,” katanya.

Kaunter wajaran tinggi, Petronas Gas menambah 24 sen kepada RM16.22 manakala Petronas Dagangan meningkat 22 sen kepada RM23.08 dan Malaysia Airports menokok 17 sen kepada RM8.60.

Digi meningkat lima sen kepada RM5.02 dan Axiata menambah dua sen kepada RM4.91.

Bagi kaunter aktif, Sapura Energy dan Vsolar masing-masing meningkat setengah sen kepada 27.5 dan 15.5 sen, manakala Prestariang dan Excel Force menambah 2.5 sen kepada 49 sen dan 67 sen.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 29.10 mata kepada 11,869.43, Indeks FBM Emas menambah 29.28 mata kepada 11,337.17, Indeks FBMT 100 menokok 28.88 mata kepada 11,171.78, FBM Ace merosot 4.28 mata kepada 4,614.18, manakala FBM 70 meningkat 29.35 mata kepada 14,168.22.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 12.29 mata kepada 15,536.80, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perusahaan menambah 0.8 mata kepada 150.52 dan Indeks Perladangan menokok 0.92 mata kepada 6,759.29.

-- BERNAMA

33 dibaca
Berita Harian X