Selasa, 27 Ogos 2019 | 10:37am

Brent naik kepada AS$58.97 setong

TOKYO: Harga minyak meningkat hari ini selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata beliau akan memeterai perjanjian perdagangan dengan China, sekali gus meredakan kebimbangan selepas satu pusingan kenaikan tarif menyaksikan pasaran merosot.

Minyak mentah Brent naik sebanyak 27 cent atau 0.5 peratus kepada AS$58.97 setongf pada 0024 GMT, selepas susut satu peratus pada sesi sebelumnya yang menjadi kejatuhan untuk hari ketiga berturut-turut.

Minyak mentah AS juga naik 23 cent atau 0.4 peratus kepada AS$53.87 setong, di mana komoditi itu juga susut satu peratus pada Isnin sekali gus menjadi kejatuhan untuk empat hari berturut-turut.

Semalam, Trump meramalkan pemeteraian perjanjian perdagangan dengan China selepas mendapat maklum balas positif dari Beijing, sekali gus menyelesaikan kebimbangan pasaran global yang terjejas oleh tarif baru dari dua ekonomi terbesar di dunia.

Timbalan Perdana Menteri China, Liu He, individu yang menerajui rundingan dengan Washington, berkata China bersedia untuk menyelesaikan pertikaian perdagangan menerusi rundingan "tenang" dan menentang sebarang ketegangan perdagangan.

Harga minyak susut sekitar 20 peratus daripada paras kemuncak 2019 yang dicapai pada April, sebahagiannya disebabkan kebimbangan konflik perdagangan AS-China yang menjejaskan ekonomi global yang mana turut memberi kesan kepada permintaan minyak.

Minggu lalu, Kementerian Perdagangan China berkata, ia akan mengenakan mengenakan tarif tambahan sebanyak lima peratus atau 10 peratus ke atas sejumlah 5,078 produk yang berasal dari AS, termasuk minyak mentah, produk pertanian dan pesawat kecil.

- Reuters

Berita Harian X