Selasa, 27 Ogos 2019 | 6:42pm
Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 9.69 mata untuk ditutup pada 1,590.84, paras terendah harian, selepas dibuka pada paras tertinggi harian 1,601.4. - Foto hiasan

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, disebabkan oleh sentimen berhati-hati berikutan pelabur masih risau dengan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 9.69 mata untuk ditutup pada 1,590.84, paras terendah harian, selepas dibuka pada paras tertinggi harian 1,601.4.

Seorang peniaga berkata pasaran saham tempatan gagal menjejaki prestasi kebanyakan pasaran serantau, yang meningkat selepas Presiden AS Donald Trump membayangkan kemungkinan penyelesaian urusan perdagangan dengan China.

“Kebanyakan saham di Asia naik lebih tinggi hari ini selepas Washington dan Beijing memperlihatkan nada untuk berdamai, yang telah menenangkan pasaran yang terumbang-ambing selepas pusingan baharu tarif perdagangan,” katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Komposit Shanghai meningkat 1.35 peratus dan Nikkei 225 Jepun menokok 0.96 peratus manakala Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 0.06 peratus.

Di bursa tempatan, Maybank turun empat sen kepada RM8.55 manakala Public Bank dan TNB masing-masing susut 10 sen kepada RM20.70 dan RM13.60.

Petronas Chemicals naik lapan sen kepada RM6.88 dan IHH menokok tiga sen kepada RM5.73.

Bagi saham aktif, KNM naik tiga sen kepada 38.5 sen manakala MNC Wireless tidak berubah pada sembilan sen.

Priceworth dan Vsolar masing-masing turun setengah sen kepada 5.5 sen dan 13 sen, dan AirAsia X susut satu sen kepada 18.5 sen.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 74.54 mata kepada 11,228.31, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 71.65 mata kepada 11,740.92 dan Indeks FBMT 100 turun 75.649 mata kepada 11,062.69.

FBM Ace turun 20.68 mata kepada 4,492.97 dan FBM 70 merosot 129.01 mata kepada 13,867.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 155.721 mata kepada 15,470.18, Indeks Perladangan menguncup 26.7 mata kepada 6,771.38 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.07 mata kepada 147.1.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 471 berbanding 293, dengan 402 kaunter tidak berubah, 812 tidak diniagakan dan 14 lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.11 bilion unit bernilai RM2.61 bilion daripada 2.21 bilion unit bernilai RM1.81 semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.41 bilion saham bernilai RM2.45 bilion daripada 1.30 bilion saham bernilai RM1.60 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 407.56 juta unit bernilai RM93.42 juta daripada 635 juta unit bernilai RM150.4 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 287.64 juta saham bernilai RM67.1 juta daripada 272.47 juta saham bernilai RM59.46 juta semalam.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 222.45 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (239.8 juta), pembinaan (79.73 juta), teknologi (87.81 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (80.53 juta), hartanah (121.76 juta), perladangan (31.86 juta), REIT (13.96 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (352.5 juta), penjagaan kesihatan (29.07 juta), telekomunikasi dan media (88.77 juta) , pengangkutan dan logistik (41.43 juta), dan utiliti (28.9 juta). - BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X