Jumaat, 30 Ogos 2019 | 7:36pm

Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi berikutan persekitaran geopolitik global yang terus semakin pulih.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 16.96 mata untuk ditutup pada paras tertinggi harian pada 1,612.14 selepas diniagakan antara paras itu dan paras terendah 1,601.59 mata.

Barometer pasaran dibuka 7.06 mata lebih tinggi pada 1,602.24.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata China mengambil pendekatan berlembut pada Khamis untuk mencegah ketegangan perdagangan daripada meruncing ketika kedua-dua pihak dijangka menyambung satu lagi pusingan perbincangan perdagangan pada September sebelum tarikh akhir bagi tarif tambahan bakal dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap barangan China.

“Kami menjangkakan susulan sentimen bertambah baik terhadap perang perdagangan, ia mendorong pasaran tempatan mencatatkan peningkatan sebelum cuti hujung minggu yang panjang,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok 12 sen kepada RM8.69, TNB dan Petronas Chemicals masing-masing naik 16 sen kepada RM13.96 dan RM6.93 dan IHH menokok dua sen kepada RM5.79. Public Bank tidak berubah pada RM20.32.Bagi saham aktif, Bumi Armada menokok 3.5 sen kepada 25.5 sen dan Vsolar dan TH Heavy Engineering masing-masing naik setengah sen kepada 14 sen dan 6.5 sen.

KNM turun satu sen kepada 38 sen manakala MN Wireless tidak berubah pada lapan sen.

Indeks FBM Emas melonjak 125.35 mata kepada 11,348.5, Indeks FBMT100 meningkat 128.51 mata kepada 11,190.63 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 133.52 mata kepada 11,912.05. FBM Ace turun 22.19 mata kepada 4,488.2 dan FBM 70 melonjak 204.8 mata kepada 13,944.71.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 179.47 mata kepada 15,550.02, Indeks Perladangan meningkat 71.69 mata kepada 6,889.48, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.82 mata kepada 148.68.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 517 berbanding 322, dengan 395 kaunter tidak berubah, 753 tidak diniagakan dan 71 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.22 bilion unit bernilai RM2 bilion daripada 1.99 bilion unit bernilai RM1.66 bilion semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.48 bilion saham bernilai RM1.85 bilion daripada 1.14 bilion saham bernilai RM1.47 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 482.86 juta unit bernilai RM102.75 juta daripada 557.23 juta unit bernilai RM123.82 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menguncup kepada 248.34 juta saham bernilai RM47.17 juta daripada 297.79 juta saham bernilai RM69.45 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 182.32 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (157.23 juta), pembinaan (64.37 juta), teknologi (133.16 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (54.09 juta), hartanah (113.8 juta), perladangan (13.15 juta), REIT (9.23 juta), dana tertutup (2,000), tenaga (627.46 juta), penjagaan kesihatan (31.05 juta), telekomunikasi dan media (46.46 juta), pengangkutan dan logistik (28.84 juta),dan utiliti (26.75 juta).

-BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X