Khamis, 12 September 2019 | 7:35pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah hariannya hari ini susulan aktiviti pengambilan untung di tengah-tengah prestasi lemah dalam kalangan pasaran ekuiti utama Asia Tenggara.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.3 mata kepada 1,601.0 selepas terapung setinggi 1,608.39 sebelumnya.

Pada paras pembukaan, petunjuk pasaran naik 0.91 mata kepada 1,603.21 berbanding paras penutup 1,602.30 pada Rabu.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata kemungkinan terdapat keputusan peruntukan serantau yang dibuat oleh pengurus dana untuk beralih daripada pasaran-pasaran ini.

“Pasaran Asia Utara kekal kukuh tetapi pasaran Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina semuanya turun. Jadi keputusan peruntukan serantau mungkin telah dibuat,” katanya kepada Bernama.

Kebanyakan pemain pasaran juga menjangkakan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekurang-kurangnya 25 mata asas hari ini dan ini boleh membawa kepada kekurangan pergerakan yang dilihat dalam sesi tengah hari.

Bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 3.00 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya.

Meskipun begitu, Teng Siew berkata langkah itu akan memberi sokongan kepada ringgit.

“Kekurangan penurunan kadar juga diterjemahkan kepada kekuatan ringgit. Kelemahan ringgit memberi kesan besar kepada perbelanjaan pengguna di Malaysia.

“Ia boleh dilihat dalam data import terbaharu yang menyaksikan penurunan besar. Ini menunjukkan bahawa ringgit, yang mencatatkan prestasi lemah selama berbulan-bulan, memberi impak kepada penurunan permintaan domestik dan sekiranya berterusan terlalu lama, ia juga akan memberi kesan kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar,” katanya.

Menerajui senarai saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals naik 28 sen kepada RM7.51, Maybank meningkat satu sen kepada RM8.90, Digi menokok 11 sen kepada RM4.72 dan Axiata menambah tiga sen kepada RM4.23.

Dalam kalangan kaunter cergas, Vsolar turun setengah sen kepada 10.5 sen manakala Bumi Armada susut satu sen kepada 27.5 sen.

Hubline meningkat setengah sen kepada 5.5 sen.

Indeks FBM Emas jatuh 8.79 mata kepada 11,283.07, Indeks FBMT100 susut 9.93 mata kepada 11,117.88 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 10.74 mata kepada 11,06.41.

FBM Ace meningkat 23.06 mata kepada 4,528.79 manakala FBM 70 turun 16.14 mata kepada 13,873.12.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 10.71 mata kepada 15,550.39, Indeks Perladangan turun 43.43 mata kepada 6,802.31 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.9 mata kepada 152.89.

Terdapat 429 kaunter untung, 362 kaunter rugi di Bursa Malaysia, manakala 418 kaunter kekal tidak berubah, 760 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 1.89 bilion unit bernilai RM1.74 bilion daripada 2.33 bilion unit bernilai RM1.78 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 1.2 bilion saham bernilai RM1.61 bilion daripada 1.51 bilion saham bernilai RM1.62 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 473.85 juta unit bernilai RM95.1 juta berbanding 492.50 juta unit bernilai RM98.99 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 214.62 juta saham bernilai RM38.75 juta berbanding 318.31 juta saham bernilai RM61.33 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 206.58 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (160.01 juta), pembinaan (66.79 juta), teknologi (110.76 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (48.07 juta), hartanah (132.14 juta), perladangan (11.34 juta), REIT (20.24 juta), dana tertutup (15,900), tenaga (229.35 juta), penjagaan kesihatan (25.01 juta), telekomunikasi dan media (94.20 juta), pengangkutan dan logistik (82.58 juta) dan utiliti (17.39 juta). - BERNAMA

Berita Harian X