Khamis, 12 September 2019 | 7:36pm

Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, dipacu oleh perkembangan luar yang positif dengan harapan tinggi bahawa ketegangan perdagangan antara AS dan China akan terus reda.

Pada 6 petang, ringgit naik ke paras 4.1640/1680 berbanding dolar AS daripada 4.1780/1810 semalam.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata terdapat perkembangan positif dalam perang perdagangan seperti rundingan perdagangan pada Oktober serta pengecualian tarif ke atas produk tertentu yang diumumkan oleh China.

Beliau berkata pasaran pertukaran asing (FX) global turut memberikan reaksi positif terhadap penangguhan pelaksanaan tambahan tarif 5.0 peratus oleh kerajaan AS.

“Ini mendorong minat untuk mengambil risiko dalam pasaran FX dan hasilnya ringgit naik,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, apa yang perlu diberi tumpuan seterusnya adalah mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu depan.

“Sekiranya Fed mengurangkan kadar, ia akan meningkatkan nilai ringgit,” katanya.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, menyatakan ekonomi global berkembang pada kadar lebih sederhana berikutan pertumbuhan lebih perlahan dalam kebanyakan ekonomi maju utama dan negara sedang pesat membangun.

Mesyuarat MPC terakhir pada tahun ini akan diadakan pada 5 November dengan ramai pakar ekonomi percaya bank pusat mungkin mengekalkan kadar faedah tidak berubah.

“Kami melihat inflasi bergerak pada kadar amat rendah manakala prospek pertumbuhan amat mencabar dengan mengambil kira ketidaktentuan perang perdagangan dan Brexit United Kingdom (UK).

“Oleh itu, skop akomodatif dasar monetari adalah terbuka luas,” kata Mohd Afzanizam.

Sementara itu, ringgit disebut harga lebih tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0275/0308 daripada 3.0295/0328 semasa ditutup pada Rabu dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8602/8650 daripada 3.8786/8824.

Mata wang tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.1355/1421 daripada 5.1648/1702 dan meningkat berbanding euro kepada 4.5925/5973 daripada 4.6033/6079 semalam. - BERNAMA

Berita Harian X