Jumaat, 13 September 2019 | 8:25pm
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sedikit sebanyak 0.25 mata kepada 1,601.25 berbanding 1,601.0 semasa ditutup pada Khamis. - Foto hiasan

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Aktiviti belian pada saat akhir mendorong Bursa Malaysia ditutup dalam kedudukan positif, menjelang satu lagi hujung minggu yang panjang.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sedikit sebanyak 0.25 mata kepada 1,601.25 berbanding 1,601.0 semasa ditutup pada Khamis.

Barometer pasaran dibuka 0.31 mata lebih rendah pada 1,600.69, bergerak antara paras terendah 1,596.33 dan paras tertinggi 1,603.68.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata pasaran berjaya mengurangkan semua kerugian dicatatkan pada sesi pagi susulan terdapat petunjuk baharu untuk urus niaga.

“Tumpuan hari ini pada saham spesifik yang telah menunjukkan pertumbuhan pendapatan, tidak terlalu (banyak) kepada sektor lain, yang tidak memberikan banyak petunjuk.

“Hasilnya, FBM KLIC terikat dalam jajaran ketat, menyaksikan turun naik dalam urus niaga dan beberapa mata sekitar paras 1,600, minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Pong berkata pelabur juga dilihat memberi tumpuan pada beberapa saham jenis pengguna yang bertahan.

“Ini merupakan pendekatan bertahan. Apabila pasaran memasuki peringkat prospek positif, dengan itu saham-saham ini tidak lagi menjadi tumpuan,” katanya dan menurutnya kaunter kewangan turut mencatatkan prestasi baik minggu ini dipacu kelulusan pinjaman kukuh.

Untuk minggu depan, katanya ”Kita kini telah melepasi musim keputusan, Jadi pelabur mungkin akan fokus pada saham yang telah membentangkan atau melaporkan pendapatan baik pada suku sebelumnya,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Hap Seng naik 13 sen kepada RM9.90, AmBank meningkat 12 sen pada RM4.17, CIMB menokok dua sen kepada RM5.02 dan Axiata naik empat sen kepada RM4.27.

Maybank tidak berubah pada RM8.90 dan Petronas Dagangan naik 20 sen kepada RM23.30.

Bagi saham aktif, Bumi Armada naik tiga sen kepada 30.5 sen, I-Stone menokok 2.5 sen kepada 20 sen dan Vsolar turun setengah sen kepada 10 sen.

Green Packet kekal tidak berubah pada 25.5 sen, manakala Sapura Energy naik satu sen kepada 28 sen.

Indeks FBM Emas naik 28.26 mata kepada 11,311.33, Indeks FBMT100 meningkat 28.18 mata kepada 11,146.06 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 25.69 mata kepada 11,832.10.

FBM Ace naik 28.22 mata kepada 4,557.01 dan FBM 70 melonjak 144.77 mata kepada 14,017.89.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 21.36 mata kepada 15,571.75, Indeks Perladangan naik 22.86 mata kepada 6,825.17, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.25 mata kepada 152.64.

Terdapat 450 kaunter untung dan 324 rugi di Bursa Malaysia, sementara 419 kaunter kekal tidak berubah, 786 tidak diniagakan dan 23 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.10 bilion unit bernilai RM1.50 bilion daripada 1.89 bilion unit bernilai RM1.74 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama naik sedikit kepada 1.28 bilion saham bernilai RM1.34 bilion daripada 1.2 bilion saham bernilai RM1.61 semalam.

Jumlah dagangan waran bagaimanapun menurun kepada 398 juta unit bernilai RM76.18 juta daripada 473.85 juta unit bernilai RM95.1 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 424.85 juta saham bernilai RM89.07 juta daripada 214.62 juta saham bernilai RM38.75 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 133.53 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (203.53 juta), pembinaan (51.33 juta), teknologi (89.81 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (34.55 juta), hartanah (85.57 juta), perladangan (13.67 juta), REIT (20.92 juta), dana/tertutup (18,300), tenaga (423.68 juta), penjagaan kesihatan (28.12 juta), telekomunikasi dan media (135.32 juta) , pengangkutan dan logistik (42.79 juta),dan utiliti (18.11 juta). - BERNAMA

Berita Harian X