Rabu, 2 Oktober 2019 | 10:55am

Brent menokok 52 cent kepada AS$59.41 setong

SINGAPURA: Harga minyak melantun daripada beberapa sesi kejatuhan pada hari ini selepas data kejatuhan inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS) yang mengejutkan, sekali gus mengimbangi bacaan ekonomi lemah di AS yang memberi tekanan kepada pasaran saham global.

Minyak mentah Brent menokok 52 cent kepada AS$59.41 setong pada 0138 GMT, meningkat semula daripada kerugian tiga sesi sebelumnya.

Minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$54.23 setong, naik 61 cent.

Harga bulan ke hadapan WTI yang menghampiri paras AS$60.00 dan AS$54.00 ditutup jatuh untuk sesi keenam berturut-turut pada Selasa, kejatuhan paling lama tahun ini, selepas aktiviti pembuatan AS merosot ke paras rendah 10 tahun susulan ketegangan perdagangan AS-China yang menjejaskan eksport.

“Brent dan WTI memadamkan kerugian pada Selasa pada sesi awal dagangan,” kata Penganalisis Kanan Pasaran di OANDA, Jeffrey Halley.

“Kami menjangkakan kenaikan akan berakhir apabila ia menghampiri AS$61.00 dan AS$ 55.00 setong.”

Minyak mentah mencatatkan beberapa kerugian dalam penutup dagangan selepas data Institut Petroleum Amerika (API) menunjukkan stok minyak mentah AS susut sebanyak 5.9 juta tong minggu lalu berbanding jangkaan peningkatan sebanyak 1.6 juta tong.

- Reuters

Berita Harian X