Khamis, 16 Januari 2020 | 4:35pm
MENTERI Industri Utama, Teresa Kok. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Jawatankuasa khas urus cukai durian runtuh sawit

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menguruskan akaun amanah cukai durian runtuh atau keuntungan luar biasa susulan kenaikan tinggi harga minyak sawit mentah (MSM).

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata cadangan akaun amanah itu diunjurkan mempunyai RM200 juta kutipan daripada cukai durian runtuh MSM itu.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah itu dikhususkan untuk dana kestabilan biodiesel kebangsaan.

"Kami mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan yang bersetuju membenarkan Kementerian Industri Utama untuk menguruskan semua kutipan cukai durian runtuh (MSM).

"Kami bersedia untuk memberi balik kepada industri dan mengembangkan industri," katanya pada Seminar Tinjauan dan Kajian Semula Ekonomi Minyak Sawit 2020 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai jawatankuasa khas itu, Kok berkata, peserta industri akan dijemput untuk menyertai jawatankuasa berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan menjemput wakil Kementerian Kewangan menjadi anggota jawatankuasa itu bagi membolehkan pengurusan dana lebih telus dan berbincang bagaimana untuk memberi balik kepada industri.

Berkuatkuasa 1 Januari 2020, cukai keuntungan luar biasa sebanyak tiga peratus bagi setiap tan akan dikenakan kepada penanam sawit di Semenanjung jika harga melebihi RM2,500 satu tan.

Bagi penanam di Sabah dan Sarawak dikenakan sebanyak 1.5 peratus jika harga melepasi RM3,000 satu tan.

Cukai itu akan digunakan antara lainnya bagi membiayai dana penstabilan biodiesel dan juga menjalankan lebih banyak promosi untuk membantu pekebun kecil.

Kerajaan Persekutuan memperkenalkan cukai 'durian runtuh' ke atas minyak sawit pada 1 Julai 2008 bagi menggantikan Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS) yang dimulakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Berita Harian X