Ahad, 19 Januari 2020 | 2:27pm
Momentum belian di Bursa Malaysia dijangka meningkat minggu depan. - Foto hiasan

Momentum belian pacu Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Momentum belian di Bursa Malaysia dijangka meningkat minggu depan berikutan perkembangan luaran yang positif susulan perang perdagangan yang berkurangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Penganalisis pasaran berkata, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), yang kekal di bawah paras psikologi 1,600 minggu lalu berikutan tekanan global yang berterusan, dijangka meningkat semula jika kebimbangan pasaran berkurangan.

“Ketegangan AS-Iran mula reda, walaupun tiada peningkatan; harga minyak kekal di bawah AS$65 setong; minggu yang lengang untuk saham tenaga; komoditi juga rendah berikutan ketegangan dengan India; dan ketegangan perdagangan AS-China yang berkurangan adalah baik untuk perdagangan global dalam jangka masa panjang.

“Bagaimanapun, apabila aliran penurunan ekonomi global dalam pertimbangan masa kini dan masa terdekat, indeks akan terus bergerak antara 1,570 (sokongan) dan 1,620 (halangan),” katanya.

Dalam negara, penganalisis berkata laporan mengenai kerajaan akan memansuhkan pegangan saham khas dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mencetuskan minat dalam kalangan pelabur asing berikutan saham yang dipegang oleh kerajaan menjana hasil yang tinggi.

Katanya, langkah kerajaan untuk menjual pegangan sahamnya adalah baik dalam jangka masa panjang berikutan ia akan meningkatkan mudah tunai dalam saham syarikat itu dan akhirnya dalam pasaran.

Pada masa ini, pegangan GLC dalam saham komponen FBM KLCI sebanyak 65 peratus.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI naik 4.35 mata kepada 1,595.81 daripada 1,591.46 sebelum ini, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik Tehran-Washington yang berkurangan, perkembangan terkini mengenai persetujuan perdagangan AS-China, prestasi Wall Street dan sentimen saham serantau.

Di papan skor, Indeks FBM Emas naik 19.02 mata kepada 11,363.55, Indeks FBMT 100 meningkat 13.79 mata kepada 11,152.73, Indeks FBM ACE menambah 84.42 mata kepada 5,565.12 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 51.54 mata kepada 12,019.22.

Bagaimanapun, FBM 70 susut 50.57 mata kepada 14,209.89.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 131.25 mata kepada 15,418.24, Indeks Perladangan susut 157.57 mata kepada 7,535.43, bagaimanapun Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.31 mata kepada 153.87.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 13.24 bilion unit bernilai RM9.27 bilion daripada 15.82 bilion unit bernilai RM9.14 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 8.67 bilion saham bernilai RM8.23 bilion daripada 11.10 bilion saham bernilai RM7.99 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.41 bilion unit bernilai RM249.92 juta daripada 1.35 bilion unit bernilai RM227.40 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 3.16 bilion saham bernilai RM783.04 juta daripada 3.35 bilion saham bernilai RM919.26 juta pada minggu sebelumnya. - BERNAMA

Berita Harian X