Selasa, 21 Januari 2020 | 1:36pm
PARIT BUNTAR 02 MAC 2019. Seorang remaja, Mohammad Ridzuan Abdul Rani 18, maut selepas sebatang pokok kelapa tumbang menimpanya ketika menunggang motosikal di Kampung Parit Abas, Kuala Kurau. NSTP/IHSAN PEMBACA

Bursa Malaysia diniaga bercampur-campur pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia yang tinggi pada dagangan awal, ditutup bercampur-campur pada tengah hari apabila pedagang memutuskan untuk mengambil keuntungan.

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.29 mata kepada 1,589.17, berbanding1,588.88 pada penutupan Isnin.

Indeks penanda aras bergerak di antara 1,588.34 dengan 1,592.59 di sepanjang sesi selepas dibuka 0.41 mata lebih tinggi kepada 1,589.29 pagi ini.

Sementara itu, kedudukan pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 396 berbanding 333, manakala 369 kaunter tidak berubah, 1,987 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.56 bilion saham bernilai RM909.40 juta.

Dalam notanya, Malacca Securities Sdn Bhd berkata selepas mencatat keuntungan baru-baru ini, sentimen di bursa tempatan bertukar kepada aktiviti pengambilan untung.

"Prestasi tidak menentu harga komoditi, ringgit yang lemah serta ketegangan yang tiada henti di Hong Kong, dilihat menjejaskan pasaran memandangkan pergolakan sosial itu dijangkakan berpanjangan,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM8.60 dan RM19.48, Tenaga turun empat sen kepada RM12.90 manakala Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM7.00.

Antara saham aktif, Vortex turun satu sen kepada sembilan sen, Yong Tai naik dua sen kepada 15.5 sen manakala Rimbunan Sawit menokok tiga sen kepada 35 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 3.44 mata kepada 11,337.56, dan Indeks FBM Emas Shariah naik 14.81 mata kepada 12,014.51.

Indeks FBMT 100 meningkat 2.14 mata kepada 11,123.22, FBM 70 menambah 3.18 mata kepada 14,241.69 manakala FBM Ace susut 4.39 mata kepada 5,652.32.

Indeks sektor produk dan perkhidmatan merosot 0.48 mata kepada 153.34, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 9.02 mata kepada 15,344.65 manakala Indeks Perladangan menokok 15.17 mata kepada 7,504.77.

-BERNAMA

Berita Harian X