Khamis, 21 Mei 2020 | 7:16pm
Ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama lain
Ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama lain

Ringgit ditutup lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, bertentangan dengan aliran pasaran serantau ketika pasaran AS terus tidak menentu susulan pertikaian terbaharunya dengan China yang terus meruncing.

Pada 6 petang ini, ringgit disebut harga pada 4.3400/3480 berbanding 4.3505/3555 sewaktu ditutup semalam.

Seorang penganalisis berkata, dolar AS itu berserta pasaran ekuiti negara itu mengalami penyusutan berikutan perkembangan terbaharu yang hanya menjejaskan aliran kenaikan dialami aset berisiko.

"Ini turut memberi risiko terhadap pasaran sedang pesat membangun apabila perjanjian perdagangan fasa pertama antara kedua-dua negara kuasa besar ekonomi itu ditangguhkan.

"Bukan setakat itu, ia turut menjejaskan prospek mengenai fasa kedua perjanjian itu yang dijadual dimeterai selepas pemilihan Presiden AS. Bolehkan perkara itu menjadi kenyataan sekiranya Donald Trump terus kekal sebagai Presiden?" katanya.

Laporan Bloomberg berkata Trump menerusi siri ciapannya di Twitter semalam, menggambarkan pemimpin China, Xi Jinping sebagai dalang 'serangan propaganda dan maklumat salah terhadap AS dan Eropah'.

Perkara itu berlaku sebelum bermulanya persidangan tahunan Parlimen China pada Jumaat yang menyaksikan Xi dijadual berucap kepada rakyat mengenai aspek prestasi ekonomi, sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar serta belanjawan.

Di pasaran serantau mata wang yen Jepun susut turun 0.07 peratus berbanding dolar AS manakala dolar Singapura susut 0.14 peratus, won Korea menguncup 0.09 peratus dan baht Thailand berkurangan 0.06 peratus.

Dalam pada itu, ringgit juga mengukuh berbanding mata wang utama.

Ringgit tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0650/0713 daripada 3.0724/0761 semalam dan mengukuh berbanding yen Jepun pada 4.0256/0341 daripada 4.0395/0452.

Prestasi ringgit juga tinggi berbanding euro kepada 4.7562/7667 daripada 4.7634/7701 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3061/3180 daripada 5.3359/3438 sebelum ini.

-BERNAMA

Berita Harian X