Rabu, 13 September 2017 | 9:29pm

Portal cari jodoh semakin digemari

JIKA dahulu orang ingin berkenalan dengan menyatakan butiran peribadi di dalam majalah, surat khabar dan sebagainya, kini sejajar dengan perkembangan teknologi mereka beralih arah ke aplikasi yang diwujudkan di alam maya.

Kelab mencari jodoh ini boleh dimuat naik di dalam telefon pintar, tablet, iPad serta komputer peribadi (PC), sama ada aplikasi berbayar atau percuma, ia terpulang bagaimana individu 'memasarkan diri' mencari jodoh masing-masing.

Biarpun aplikasi seperti ini sudah meluas digunakan, namun ia belum tentu menjamin individu terbabit rasa sesuai dengan padanan yang dikemukakan pengendali.

KETUA Pengarah Urusan Esync, Violet Lim pada bual bicara kajian aplikasi berpacaran dan laman web Esync. - Foto Rohanis Shukri.
KETUA Pengarah Urusan Esync, Violet Lim pada bual bicara kajian aplikasi berpacaran dan laman web Esync. - Foto Rohanis Shukri.

Individu masih perlu berjumpa dan berkenalan, menjalin hubungan bagi mencari keserasian sebelum mengambil keputusan menamatkan zaman bujang.

Kajian sebuah portal mencari jodoh antarabangsa, esync ke atas 200 responden golongan bujang di Malaysia mendapati 63 peratus daripadanya cenderung menggunakan pelbagai aplikasi untuk mencari jodoh.

Hasil kajian juga mendedahkan sekurang-kurangnya 24 peratus individu menggunakan tiga atau lebih aplikasi portal mencari jodoh.

Ketua Pegawai Eksekutif esync dan Pakar Hubungan Asia, Violet Lim, berkata terlalu banyak aplikasi mencari jodoh, bagaimanapun esync adalah platform yang serius membantu individu yang menghadapi masalah berkenaan.

"Orang bujang lebih ramai menggunakan portal berbanding kategori golongan lain, bagaimanapun 65 peratus sekadar berkomunikasi tanpa mengadakan pertemuan dengan 'jodoh' masing-masing.

"Kita juga mendapati kira-kira 25 peratus lelaki dan 19 peratus wanita melalui pengalaman buruk ketika berkenalan di alam maya.

"Selain itu, 60 peratus kajian mendedahkan ada individu yang menggunakan profil palsu, manakala 51 peratus pula tidak mewakili personaliti sebenar mereka," katanya kepada BH.

KETUA Pengarah Urusan Esync, Violet Lim (kanan) pada bual bicara kajian aplikasi berpacaran dan laman web Esync. Turut sama Chuah Siong Leong (dua dari kanan), Wong Fui Sia dan Desmen Phang. - Foto Rohanis Shukri.
KETUA Pengarah Urusan Esync, Violet Lim (kanan) pada bual bicara kajian aplikasi berpacaran dan laman web Esync. Turut sama Chuah Siong Leong (dua dari kanan), Wong Fui Sia dan Desmen Phang. - Foto Rohanis Shukri.

Violet berkata, setiap individu ada yang serius untuk mencari jodoh manakala sesetengahnya sekadar suka-suka mencuba melayari portal berkenaan.

"Penyedia portal seharusnya menawarkan platform terbaik kerana 55 peratus individu bujang ingin rasa selamat dan terjamin apabila melayari laman sosial itu.

"Kami di esync mahu menjadi portal yang berintegriti dengan mewajibkan mendaftarkan maklumat lengkap profil seperti kad pengenalan, pendidikan, pekerjaan dan gaji bulan.

"Mereka juga menyediakan kuiz personaliti untuk mengenal pasti latar belakang individu berkenaan sebelum merancang pertemuan lanjut," katanya.

Ketika ini seramai 230,000 pelayar menggunakan aplikasi esync yang beroperasi Singapura, Kuala Lumpur, Hong Kong, Jakarta dan Bangkok. Daripada jumlah itu, seramai 3,000 pasangan yang dijodohkan sudah melangsungkan perkahwinan.

Beliau yakin dengan pertemuan secara fizikal lebih efektif untuk mengenali karakter pasangan. Jangan buang masa berkenalan di alam maya saja.

Malah, sebanyak 62 peratus individu yang melayari portal esync menyatakan tarikan istimewa penting untuk ke fasa ke seterusnya manakala 69 peratus wanita dan 64 peratus lelaki setuju keserasian sangat penting sebelum berkahwin.

KETUA Pengarah Urusan Esync,Violet Limpada. - Foto Rohanis Shukri.
KETUA Pengarah Urusan Esync,Violet Limpada. - Foto Rohanis Shukri.

Ahli perniagaan, Desmarn Phang, 49, berkata sebelum ini beliau melayari lima portal mencari jodoh kerana kebanyakannya tidak menjanjikan keputusan yang baik.

"Tetapi esync dilihat lebih dipercayai kerana mereka menapis butiran peribadi, kuiz personaliti dan mengaturkan lebih 10 pertemuan mengikut pakej disediakan.

"Dalam tempoh dua bulan, saya sudah berjumpa dengan lapan wanita dan hanya berkenan seorang saja. esync ini platform bertemu jodoh, kemudian kita kena nilai sendiri sama ada sepadan atau sebaliknya," katanya.

Bagi pasangan suami isteri, Chuah Siong Leong, 33 dan Wong Fui Sia, 32, kali pertama menyertai esync ini pada 2015, mereka sudah serasi dan mengambil keputusan untuk bertunang pada tahun lalu dan berkahwin pada Julai lalu.

"Saya berpuas hati dengan pilihan yang ditemui menerusi laman jodoh ini," katanya.

INFO: Kepentingan portal jodoh

  • Senarai calon sangat ramai
  • Menjimatkan masa
  • Menjimatkan wang
  • Lebih selamat.

Berita Harian X