Khamis, 15 Ogos 2019 | 10:25pm
Galaxy Note10 membuktikan Samsung terus menjadi pereka baru kepada pengalaman mudah alih baharu merentasi semua platform dan peranti.

Samsung lancar Galaxy Note10

KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia Electronics melancarkan Galaxy Note10, rangkaian telefon pintar premiumnya yang baharu, menggabungkan reka bentuk elegan dengan prestasi berkuasa tinggi dan alat produktiviti.

Dengan harga bermula daripada RM3,699, Galaxy Note10 memberikan kebebasan kepada pengguna untuk bekerja dengan cara yang mereka gemari dan menunjukkan semangat kreativiti, semuanya secara mudah alih, kata Presiden Samsung Malaysia Electronics, DJ Koh.

“Galaxy Note10 membuktikan Samsung terus menjadi pereka baru kepada pengalaman mudah alih baharu merentasi semua platform dan peranti,” katanya semasa pelancaran Galaxy Note10 di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk pertama kalinya, Samsung turut memperkenalkan dua peranti Note iaitu Note10 dan Note10+, dengan kedua-duanya menampilkan inovasi revolusioner dari segi reka bentuk, kreativiti, produktiviti dan prestasi.

Galaxy Note10 menawarkan produktiviti maju dalam bentuk kompak, mempunyai 6.3 inci paparan infiniti sinematik sebagai Note paling kompak setakat ini, manakala Galaxy Note10+ mempunyai paparan Note terbesar iaitu paparan infiniti sinematik 6.8 inci pada peranti berkenaan yang mudah dipegang dan digunakan, kata Kim.

Galaxy Note10 dan Galaxy Note10 + dengan kapasiti simpanan 256GB masing-masing berharga RM3,699 dan RM4,199.

Bagi mereka yang mahukan kapasiti lebih besar, mereka boleh mendapatkan Galaxy Note10 + 512GB berharga RM4,799.

Galaxy Note10 didatangkan dalam tiga warna - aura glow, hitam dan merah jambu, manakala Galaxy Note10+ mempunyai pilihan warna aura glow, hitam dan putih. - BERNAMA

755 dibaca
Berita Harian X