Rabu, 28 Jun 2017 | 2:13pm

Dana Nita RM50 juta bantu peniaga wanita

KANGAR: MARA menyediakan RM50 juta khusus bagi wanita yang berminat menceburi bidang keusahawanan atau perniagaan menerusi Dana Nita, sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Zulfikri Osman, berkata menerusi program itu pemohon boleh memperoleh bantuan maksimum RM50,000.

Beliau berkata, RM5 juta daripada keseluruhan peruntukan itu digunakan bagi melaksanakan kursus dan latihan untuk pemohon sebelum mereka layak membuat permohonan.

"Program Dana Nita ini dilancarkan hasil desakan Pergerakan Wanita Umno pada perhimpunan agung parti itu tahun lalu," kata Zulfikri kepada BERNAMA di sini.

Berhubung Perlis, beliau berkata MARA menyediakan peruntukan RM15 juta bagi membantu usahawan Perlis menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan tahun ini.

Peruntukan itu termasuk pembiayaan, latihan dan menjalankan aktiviti lain berkaitan keusahawanan, katanya.

"Perlis sinonim dengan perniagaan pakaian dan makanan. Perlis juga berada dalam kedudukan strategik kerana berada di sempadan antarabangsa.

"Dalam hubungan ini, Mara yakin bidang keusahawanan teknologi berpotensi maju di Perlis berdasarkan banyak institusi latihan dan pendidikan selain agensi lain yang membolehkan usahawan mendapat latihan formal," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X