Jumaat, 22 November 2019 | 5:22pm
PENGASAS Kekasih by The Melvins, Syatilla Melvin, Syida Melvin, Syafiqa Melvin dan Syifa Melvin.

Kekasih by The Melvins jadi fenomena

AZAM untuk memiliki empayar sendiri menjadikan wanita ini gigih membina nama dalam dunia perniagaan kosmetik.

Mengakui cabarannya amat berbeza dengan kerjaya sebagai seorang pelakon, Siti Nur Syatilla Amirol Melvin tidak mahu ia menjadi pematah semangat untuk terus meneroka peluang yang terhidang di depan mata.

Memulakan langkah sebagai usahawan dalam bidang kosmetik, Siti Nur Syatilla, 28, yang lebih mesra dengan panggilan Syatilla memperkenalkan rangkaian produk pertamanya, krim bedak asas dan matte bibir di bawah jenama Kekasih by The Melvins pada Mei lalu.

Dalam beberapa bulan saja, produk yang diasaskan daripada bahan semula jadi ini menjadi fenomena apabila terjual hampir 180,000 unit.

Justeru, Syatilla berkata, bagi menghargai pelanggannya, beliau mengeluarkan kombo terbaharu matte bibir Tulus Suci yang mula menjengah pasaran pada 17 November lalu.

“Kali ini kombo matte bibir Tulus Suci hadir dalam pilihan warna menarik dengan bau strawberi pula. Sebelum ini menerusi kombo terdahulu, kita tampil dengan bau pisang dan coklat.

“Ia juga didatangkan dalam edisi bermusim yang cukup terhad dengan empat warna pilihan.

“Kandungan utama matte bibir ini terdiri daripada minyak Argan, Shea Butter dan Vitamin E dan bersifat kalis air. Paling utama, ia tidak mengandungi sebarang bahan kimia dan bebas paraben,” katanya yang turut dibantu tiga adik beradik yang lain, Syida Melvin, Syafiqa Melvin dan Syifa Melvin.

Ditanya siapakah pendorong utama pembabitan beliau dalam cabang perniagaan, Syatilla yang juga isteri kepada pelakon Shaheizy Sam berkata, anak-anak menjadi sumber kekuatan beliau untuk terus mencabar diri supaya tidak terlalu selesa berada dalam zon sekarang.

“Saya jadikan platform sebagai pelakon untuk terjun dalam bidang perniagaan. Dari dulu saya tanam azam untuk ada rumah besar dan kenderaan mewah hasil usaha saya sendiri.

“Tambahan pula, saya bertekad untuk berikan pendidikan terbaik kepada anak-anak saya, kerana seperti yang kita tahu pendidikan ketika ini bukanlah murah,” kata kepada dua cahaya mata ini.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, beliau komited untuk melahirkan jutawan pertama di bawah empayar Kekasih by The Melvins menjelang tahun depan.

“Walaupun kita tahu bidang kosmetik ini mempunyai ramai pesaing, pasarannya sangat luas dan kita yakin dengan keistimewaan produk Kekasih.

“Sebab itu kita agresif pasarkan rangkaian produk supaya setiap ejen mampu tingkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Ketika ini Kekasih by The Melvins memiliki 1,000 ejen dan stokis berdaftar di seluruh negara.

Kombo matte bibir ini dijual pada harga RM39 seunit.

Berita Harian X