Isnin, 16 Disember 2019 | 9:00am
PENGASAS Bardeaux Meuble Sdn Bhd (Bardeaux), Mohamad Amir Mohamad Zain bersama koleksi sofa Chesterfield di galerinya di Bandar Baru Bangi, Selangor. NSTP/Email

Dulu peguam, kini pengusaha perabot klasik

KUALA LUMPUR: Minat mendalam terhadap perabot klasik terutama reka bentuk sofa Chesterfield yang ‘evergreen’ membawa bekas pengamal undang-undang ini mengusahakan perniagaan perabotnya sendiri.

Mahu membuktikan bahawa Chesterfield bukan hanya mendapat tempat di kediaman mewah ataupun di kediaman diraja, pengasas Bardeaux Meuble Sdn Bhd (Bardeaux), Mohamad Amir Mohamad Zain dan isterinya, Nur Baidura Hatta mahu ia berfungsi sebagai tempat duduk di ruang tamu dan medium ekspresi diri yang menempatkan status pemiliknya yang mampu bercerita pelbagai kisah mengenai sofa berkenaan.

“Chesterfield mencerminkan sofa yang dicorakkan sempurna untuk kemewahan, keselesaan dan kecanggihan.

Selama hampir 10 tahun, Bardeaux begitu berani membawa tema kemewahan yang boleh diserasikan di setiap kediaman rakyat Malaysia dengan harga yang menarik dan mampu milik,” katanya ketika ditemui di galerinya di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai pemilihan Bardeaux, Amir berkata, ia diinspirasikan daripada sebuah kota terpencil di barat Perancis yang popular dengan perhiasan perabot klasik.

PENGASAS Bardeaux Meuble Sdn Bhd (Bardeaux), Mohamad Amir Mohamad Zain bersama koleksi sofa Chesterfield di galerinya di Bandar Baru Bangi, Selangor. NSTP/Email

Amir berkata, melalui penjelajahannya ke seluruh pelosok dunia, pelanggan tidak akan tersalah pilihan dengan konsep bertemakan Chesterfield kerana semua ekspresi sofa jenis itu mampu mencuri perhatian setiap mata yang memandang apabila berada di ruang tamu kediaman.

“Sama ada tema moden atau klasikal, Bardeaux memberi inspirasi dengan membawakan tema evergreen sesuai sepanjang zaman dengan model paling berkualiti sofa Chesterfield bagi pasaran Malaysia,” katanya.

Amir berkata, ketika memulakan perniagaan berkenaan, beliau pernah terfikir dan bertanya kepada diri sendiri, bagaimana satu perabot menjadi idaman pelbagai budaya yang berbeza terutamanya dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya dapati penyelesaiannya melalui pembacaan sejarah Chesterfield ketika menetap di kota Paris selama empat tahun.

Malah, ketika membaca, saya tidak sedar yang saya sendiri sedang duduk di atas sofa Chesterfield.

“Dengan dibaluti kulit mewah daripada lembu aniline, gaya klasik segar menjadi pilihan perabot yang sangat dicari bagi pemilik rumah merentasi sempadan kaum dan budaya,” katanya.

Sementara itu, Baidura berkata, Bardeaux mengetengahkan sofa Chesterfield dengan kualiti paling premium bagi kategori yang tersendiri dengan harga yang berpatutan.

Berita Harian X