Isnin, 23 Disember 2019 | 10:00am
Ketua Pegawai Eksekutif Avana Asia, Luqman Adris. - NSTP/Azhar Ramli

Kreativiti, inovasi jadi asas perniagaan

KUALA LUMPUR: Sekitar 15 tahun lalu ketika Mark E Zuckerberg sedang membangunkan Facebook dari bilik asramanya di Harvard University, seorang penuntut Malaysia yang agak nakal sedang sibuk mengklon MSN Chat dalam bilik asramanya di University of Michigan.

MSN chat yang diklon itu menarik lebih 500 pengguna dari seluruh dunia dan apabila MSN Chat milik Microsoft Network itu ditutup, lebih 100,000 pelanggannya beralih menggunakan ruang sembang yang diklon itu.

Mengesan pengendali ruang sembang yang diklon itu beroperasi dalam kampus, pihak universiti dihubungi Microsoft bagi mencari siapa individu disebalik protokol internet (IP) itu dan memberi amaran untuk mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.

Selepas dimaklum pihak universiti dan bimbang akan dikenakan saman sebanyak AS$20,000 operasi ruang sembang itu ditutup.

Anekdot di atas memberikan anda sedikit gambaran kepada peribadi Luqman Adris, 35, individu disebalik perisian jenama AVANA, jenama yang semakin popular di Malaysia dan beberapa negara ASEAN, khususnya dalam kalangan mereka yang berniaga menggunakan media sosial.

Peribadi yang dimaksudkan ialah kreativiti dan inovasi yang ada pada Luqman dalam menghasilkan sesuatu dan mencapai matlamat yang memberikan kepuasan kepada beliau.

Disebalik kenakalan mengklon IP milik pihak lain sewaktu menuntut di universiti (kerana mahu bersembang secara percuma), Luqman juga membuat duit poket membangunkan lawan web untuk pelanggan sekitar Michigan, antaranya firma hartanah, pelaburan dan syarikat-syarikat teknologi.

Semua ini, yakni membangunkan lawan web dan perisian, dibelajar sendiri daripada bacaan dan internet, ketika menuntut di universiti.

Apa yang istimewanya perisian AVANA ini? Ia adalah platform perdagangan sosial yang mengubah laman media sosial daripada platform promosi kepada platform transaksi dengan meletakkan elemen e-dagang ke dalam saluran media sosial anda.

Dengan mempamerkan produk anda, seperti kain tudung, beg tangan dan sebagainya di Facebook, Instagram, Whatsapp dan Messenger umpamanya, mereka yang berminat boleh terus memesan produk yang dipilih secara langsung dari laman sosial itu, yang mana pembelian dan penghantaran diproses secara automatik.

Dalam bahasa mudah, bagi usahawan dan ahli perniagaan atas talian, AVANA menjana pendapatan melalui laman media sosial mereka dengan menjadi platform promosi dan transaksi, selain dapat menyingkatkan kitaran jualan dan mengautomasi proses jualan sepenuhnya atau "end-to-end".

Idea penubuhan Future Commerce Sdn Bhd, syarikat yang membangun dan memasarkan AVANA, tercetus selepas pulang ke tanahair.

Ia diasaskan Luqman dengan rakan kongsi, Soh Yien Yee, pada 2016. Ini kerana beliau merasakan bahawa pembangunan perisian berasaskan projek yang hanya dapat membantu satu pihak perlu melalui banyak proses remeh, seperti membida atau 'pitching' kepada syarikat dan agensi kerajaan dan selepas itu serahan tender dan sebagainya, sebelum mendapatkan kontrak.

Beliau mengambil keputusan untuk membangunkan produk sendiri dan menjualnya kepada orang ramai tanpa batasan sempadan, dan dari titik itu terciptalah AVANA.

Hari ini AVANA memasuki pasaran Singapura dan Indonesia, manakala Taiwan pula dijadualkan pada separuh pertama tahun depan.

Sebanyak 80 peratus daripada pelanggan adalah dari Malaysia dan komposisi itu akan berubah ketara apabila produk AVANA mula diterima secara meluas di Indonesia pada masa depan.

Luqman terus kreatif dan berinovasi kerana dalam era digital hari ini, teknologi sangat cepat berubah.

"Apa yang dianggap canggih pada hari ini, tidak lagi canggih di tahun depan. Kita tiada pilihan selain terus maju untuk perubahan," kata anak bekas anggota polis itu yang kini sedang membangunkan satu lagi produk inovatif IT.

Biodata
Nama:  Luqman Adris, 35.
Pendidikan:  SK Sg Petani 
SK Kulim
MRSM Kulim
University of Michigan Ann Arbor.

Berita Harian X