Sabtu, 9 Mei 2020 | 10:40am
Inisiatif #RamadanWithShell bantu peniaga kecil di seluruh negara - Foto ihsan Shell Malaysia
Inisiatif #RamadanWithShell bantu peniaga kecil di seluruh negara - Foto ihsan Shell Malaysia

Shell Malaysia bantu peniaga kecil semasa Ramadan

KUALA LUMPUR: Shell Malaysia melancarkan inisiatif di seluruh negara untuk menyokong pembekal kecil makanan tempatan dengan menyediakan saluran pemasaran bagi membantu mereka dalam bulan Ramadan, khususnya semasa tempoh yang sukar ini.

Melalui inisiatif #RamadanWithShell, stesen-stesen Shell akan mula menjual juadah yang dimasak oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata syarikat minyak itu dalam satu kenyataan.

Mulai 4 hingga 23 Mei, pelanggan akan dapat membeli pelbagai hidangan tempatan seperti nasi campur, nasi beriani, asam laksa, kuih-muih, murtabak, bubur lambuk, minuman dan banyak lagi hidangan melalui 950 stesen Shell di seluruh negara secara bawa pulang.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain berkata selain daripada hidangan Ramadan ini, pelanggan juga boleh membeli secara kombo dengan pilihan Shell SELECT serta snek dan minuman deli2go pada harga promosi, bermula serendah RM6.

"Di Shell, pelanggan sentiasa mendapat tempat di hati kami, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang. Dengan ketidaktentuan yang dibawa oleh COVID-19, kami perlu berpegang teguh kepada nilai yang menentukan syarikat sebagai sebuah organisasi dan ini membolehkan kami untuk menyumbang kembali kepada rakyat Malaysia.

"Inisiatif terbaharu kami ini membolehkan syarikat membantu rakyat Malaysia menjalankan perniagaan mereka," katanya.

Di samping itu, sejumlah 100 stesen Shell sedang bekerjasama dengan foodpanda bagi menghantar kombo Ramadan terpilih ke pintu rumah pelanggan.

Semasa tempoh promosi ini, pelanggan Shell SELECT yang menempah melalui foodpanda dengan kod promo 'SHELLRAMADAN ' akan menikmati diskaun 30 peratus untuk semua produk Shell SELECT dalam Pandamart, dengan pembelian minimum sebanyak RM15.

"Kami mahu menawarkan kepada pelanggan makanan tempatan dan kombo Ramadan untuk berbuka puasa yang boleh dibeli dari stesen atau melalui penghantaran foodpanda.

"Kami menaruh keyakinan dalam melakukan perkara yang penting dan pada masa yang sama kami cuba membuat perbezaan dalam kehidupan mereka yang menerima perkhidmatan kami," tambahnya lagi.

-BERNAMA

Berita Harian X