Jumaat, 16 Ogos 2019 | 7:34pm
Kanak-kanak melihat papan tanda informasi mengenai wabak Ebola di Goma, Congo. - Foto Reuters

Kes pertama Ebola menular di timur Republik Demokratik Congo

BUKAKU: Wilayah timur Republik Demokratik Congo (DRC) di Selatan Kivu mencatatkan kes pertama disahkan wabak Ebola yang berlaku tahun ini, dengan membabitkan satu kematian, kata kerajaan wilayah hari ini.

“Dua kes diuji positif wabak Ebola selepas disahkan semalam di Selatan Kivu di daerah Lwindi dekat sini,” katanya dalam satu kenyataan.

“Seorang mangsa berusia 26 tahun meninggal dunia dan seorang lagi kanak-kanak yang diuji positif wabak itu masih hidup dan kini sedang dirawat,” katanya.

Difahamkan lebih, 1,900 orang dilaporkan maut akibat wabak Ebola di DRC sejak 1 Ogos 2018, bila mana virus itu merebak di wilayah Utara Kivu ke wilayah berdekatan, Ituri.

Sementara itu, Gabenor Selatan Kivu, Theo Ngwabidje memberitahu wartawan bahawa pasukan penyelarasan kempen anti-Ebola sudah tiba semalam bagi memberikan bantuan.

Virus Ebola menyebabkan demam, muntah dan cirit-birit yang teruk dan kemudian disusuli kegagalan fungsi buah pinggang selain pendarahan luar dan dalaman.

Virus ini adalah yang ke-10 sejak ia dikenal pasti pada 1976. - AFP

86 dibaca
Berita Harian X