Isnin, 18 Mei 2020 | 10:09pm

20 terbunuh dalam serangan menjelang waktu berbuka puasa

KANO: Anggota Boko Haram membunuh 20 orang awam dalam serangan di sebuah kawasan bergolak di timur laut Nigeria ketika penduduk kampung bersedia untuk berbuka puasa.

Menurut penduduk dan anggota keselamatan tempatan, pemberontak yang menaiki beberapa trak pikap itu melepaskan Roket Pelancar Grenad (RPG), dalam serangan yang berlaku semalam di kampung Gajiganna.

"Kira-kira 14 penduduk cedera parah, manakala beberapa bangunan musnah dalam serangan itu," kata seorang anggota militan tempatan yang turut berjuang menentang Boko Haram, Babakura Kolo.

Salah seorang penduduk yang cedera, Bukar Gaji, ketika ditemui di hospital, berkata isterinya terbunuh manakala tiga anaknya mengalami kecederaan serius selepas rumah mereka turut terkena letupan berkenaan.

Katanya, pejuang terbabit berada di luar kampung berkenaan petang semalam dan melancarkan RPG di kawasan perkampungan itu ketika kebanyakan penduduk sedang bersiap sedia untuk berbuka puasa.

Seorang lagi penduduk, Adam Bura, memaklumkan beliau terbabit dalam proses pengebumian 20 individu yang terbunuh dalam serangan berkenaan. - AFP

Berita Harian X