Rabu, 20 Mei 2020 | 7:51am

7 tentera Nigeria terbunuh dalam serangan militan

KANO (NIGERIA): Sekumpulan anggota militan membunuh tujuh askar dalam serangan di timur laut Nigeria, termasuk serangan di sebuah bandar di mana pelajar sekolah diculik secara besar-besaran dua tahun lalu, kata sumber tentera dan penduduk, semalam.

Serangan pada Isnin itu terjadi beberapa hari sebelum akhir bulan suci Ramadan, ketika anggota militan yang telah melakukan pemberontakan selama 10 tahun biasanya meningkatkan serangan mereka di wilayah terbabit.

Dalam satu serangan di bandar Dapchi, pejuang dipercayai berasal dari sekumpulan anggota militan Dapchi, dipercayai dari kumpulan berkaitan Daesh membunuh seorang tentera dan mencederakan tiga yang lain, ketika memecah masuk kedai serta membakar rumah milik pemimpin tempatan, lapor sumber.

Dapchi ialah lokasi penculikan lebih 100 pelajar perempuan oleh kumpulan militan Islam Wilayah Afrika Barat (ISWAP), pada Februari 2018.

Kesemua mangsa dibebaskan selepas itu, kecuali seorang pelajar beragama Kristian apabila dia enggan menukar kepercayaan dianutinya.

Dalam serangan kedua berhampiran perkampungan Maza Isnin lalu, kumpulan militan itu membunuh enam anggota tentera selepas menyerang konvoi pasukan keselamatan, lapor dua pegawai.

Konflik selama sedekad di timur laut Nigeria itu meragut lebih 36,000 nyawa dan menyebabkan hampir dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Militan berkenaan terbahagi kepada beberapa serpihan kumpulan. Pada 2016, ISWAP berpecah daripada kumpulan utama, Boko Haram yang diketuai Abubakar Shekau.

Dalam satu lagi kejadian berasingan Isnin lalu, dua pengebom nekad wanita, disyaki dihantar penyokong setia Shekau membunuh dua individu di pekan Konduga.

Pengebom berkenaan menyelinap masuk ke dalam pekan, 38 kilometer dari ibu negeri Maiduguri dan meledakkan bahan letupan ketika anggota pasukan anti militan itu melalui lokasi menggunakan basikal.

Seorang pemimpin tempatan berkata, puak militan turut menyerbu pekan di perkampungan Kautikeri dan memenggal kepala penduduk, serta menculik seorang pengembala bersama 150 haiwan ternakannya. - AFP

Berita Harian X