Sabtu, 6 Jun 2020 | 9:07pm
Kumpulan etnik Fulani yang menjadi pelarian akibat pergolakan di Mali berkumpul di Bamako untuk solat berjemaah. - Foto AFP
Kumpulan etnik Fulani yang menjadi pelarian akibat pergolakan di Mali berkumpul di Bamako untuk solat berjemaah. - Foto AFP

26 terbunuh dalam serangan di Mali

BAMAKO: Seramai 26 orang terbunuh dalam serangan di sebuah perkampungan di tengah Mali, dalam keganasan terbaru melanda negara Afrika Barat itu semalam.

Menurut wakil rasmi Persatuan Fulani di Mali, Tabial Pulaaku, serangan itu menyasarkan perkampungan Fulani iaitu Binedama, di wilayah Mopti yang sedang bergolak.

Mali berdepan kesukaran menentang puak pemberontak jihad yang pertama kali tercetus di bahagian utara negara itu pada 2012, sebelum berleluasa di zon tengah serta negara jiran Burkina Faso dan Niger.

Ribuan anggota tentera dan orang awam terkorban dalam konflik itu, sementara ramai lagi terpaksa menjadi pelarian.

Kawasan tengah Mali yang dikuasai etnik Musa, menjadi salah satu kawasan konflik di negara itu dengan serangan jihad terhadap sasaran tentera kerap dilakukan selain pertembungan antara kaum.

Masyarakat Fulani yang majoritinya menjadi pengembala, sering dituduh mempunyai kaitan dengan kumpulan jihad, salah satu persepsi yang menyebabkan berlakunya pembunuhan beramai-ramai dalam kalangan mereka dan etnik lain.

Sementara itu, pegawai kerajaan tempatan di Koro, bahagian di wilayah Mopti, mengesahkan kepada AFP bahawa serangan di Binedama itu berlaku pada tengah hari semalam.

Beliau berkata, mangsa yang maut antaranya membabitkan dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, dalam serangan ketika pergolakan di Mali semakin meningkat.

Tokoh pembangkang terkemuka, Soumaila Cisse, diculik di tengah Mali pada 25 Mac lalu ketika beliau berkempen untuk pilihan raya.

Wilayah itu turut menyaksikan beberapa kes pembunuhan beramai-ramai, termasuk serangan puak militan di perkampungan kawasan pedalaman yang mengakibatkan 12 orang terkorban April lalu. - AFP

Berita Harian X