Rabu, 24 Oktober 2018 | 1:03pm
Rebecca Witzofsky (kanan) dan Nikolas Carapellatti ketika ditemui di Starbucks yang beroperasi menggunakan bahasa isyarat di Washington. - Foto AFP

Starbucks khas golongan cacat pendengaran dibuka di AS

WASHINGTON : Rebecca Witzofsky, 20, seorang penuntut Universiti Gallaudet di sini yang cacat pendengaran dan seorang rakannya, Nikolas Carapellatti mahu membeli kopi dan semalam, gadis itu tidak lagi berdepan kesukaran untuk membuat pesanan di kaunter.

Gergasi kopi Amerika Syarikat (AS), Starbucks membuka cawangan pertama beroperasi menggunakan bahasa isyarat di timur laut Washington berdekatan kampus Universiti Gallaudet, iaitu satu-satunya universiti di dunia dengan keseluruhan kurikulum disusun khas untuk penuntut yang cacat atau mengalami masalah pendengaran.

Di kafe itu, kesemua pekerja yang terdiri daripada golongan cacat atau memiliki masalah pendengaran diwajibkan berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat.

Kafe itu mengambil contoh sebuah cawangan yang dibuka di Kuala Lumpur, Malaysia pada tahun 2016.

Sekilas pandang, ia tidak berbeza dengan sebarang cawangan Starbucks yang lain.

Pekerja berpakaian kemeja hitam dan apron hijau tertera lambang syarikat sibuk membancuh minuman di belakang kaunter untuk pelanggan.

Namun di sebalik jumlah pelanggan yang ramai, kafe itu kelihatan tenang kerana semua komunikasi berjalan secara senyap menggunakan bahasa isyarat.

Untuk Witzofsky, ia adalah satu kelegaan.

“Ia memberikan peluang untuk golongan cacat pendengaran bersosial, menikmati hidangan lazat bersama rakan-rakan senasib,” katanya.

“Apabila saya pergi ke cawangan Starbucks yang lain, saya hanya mampu berharap mereka memahami pesanan saya atau saya menggunakan telefon untuk berkomunikasi dengan mereka,” jelasnya. - AFP

Berita Harian X