Selasa, 17 March 2020 | 1:20pm

COVID-19: AS, China saling berbalah

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan China saling menuntut berhenti mencemarkan reputasi antara satu sama lain berhubung COVID-19 ketika Presiden Donald Trump merujuk patogen itu sebagai ‘Virus China’.

“AS akan memberi sokongan kuat kepada industri seperti syarikat penerbangan dan lain-lain yang terkesan dengan Virus China,” ciap Trump, malam tadi.

Rakan sekutu Trump pernah merujuk pandemik berkenaan sebagai ‘coronavirus China’, namun ini adalah kali pertama Presiden itu menyatakannya sendiri melalui ciapan terbabit.

Pengkritik membidas tindakan Trump itu yang disifatkan perkauman dan berpotensi mendorong serangan terhadap masyarakat Asia-Amerika.

“Masyarakat Asia-Amerika kita - orang yang ANDA berkhidmat - sudahpun menderita. Mereka tidak memerlukan anda menyemarakkan lagi ketaasuban,” ciap Datuk Bandar New York, Bill de Blasio. New York ialah antara negeri paling terkesan dengan wabak COVID-19 di AS.

Perbalahan itu tercetus pada hari sama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa kini ada lebih banyak kes jangkitan dan kematian akibat COVID-19 dilaporkan di serata dunia berbanding China di mana virus terbabit mula-mula dikesan, akhir tahun lalu.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, dalam satu perbualan telefon dengan pegawai tinggi China, Yang Jiechi, pula menyuarakan bantahan terhadap tindakan Beijing menggunakan saluran rasmi ‘untuk mengalihkan kesalahan atas COVID-19 kepada AS’.

Menurut Jabatan Negara, Pompeo ‘menegaskan bahawa ini bukan masanya untuk menyebarkan maklumat tidak sahih dan khabar angin, sebaliknya masa untuk semua negara berganding bahu memerangi ancaman ini’.

Jumaat lalu, Jabatan Negara memanggil Duta China ke AS, Cui Tiankai, untuk mengecam tindakan Beijing menguar-uarkan satu teori konspirasi yang memperoleh perhatian meluas dalam media sosial.

Jurucakap Kementerian Luar, Zhao Lijian, dalam ciapan dalam kedua-dua bahasa Inggeris serta Mandarin, minggu lalu, melontarkan pandangan bahawa ‘pesakit sifar’ dalam pandemik global itu berkemungkinan datang dari AS dan bukan Wuhan di China.

Pompeo sendiri turut berulang kali merujuk COVID-19 sebagai ‘Virus Wuhan’ meskipun pihak profesional kesihatan menasihatkan bahawa label sedemikian boleh meninggalkan stigma.

Jiechi pula ‘memberikan amaran keras kepada AS bahawa sebarang usaha untuk mencemarkan imej China akan gagal’, lapor agensi berita Xinhua dalam rumusannya berhubung perbualan telefon dengan Pompeo itu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X